KAJANG - Pihak berkuasa berkaitan digesa menjalankan siasatan berhubung dakwaan sekumpulan warga asing membersihkan kawasan berbukit di Kajang sebelum menjadikannya sebagai kawasan riadah dan aktiviti sukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong mendakwa, tanah terbabit merupakan milik sebuah syarikat dan bukannya tanah kerajaan berdasarkan maklumat yang diterima.
Menurutnya, walaupun tanah berkenaan mempunyai pemilik, sebarang penggunaan, kerja pembersihan kawasan atau pembinaan struktur perlu mendapat kebenaran pemilik tanah serta mematuhi peraturan ditetapkan.
"Saya memandang serius kebimbangan masyarakat bahawa penggunaan tanah tanpa kawalan boleh berkembang daripada kawasan lapang kepada pembinaan struktur sementara dan akhirnya menjadi penempatan tidak terancang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin malam.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang serta Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan pemeriksaan mengikut bidang kuasa masing-masing.
David yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Selangor berkata, tindakan itu penting bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.
Katanya, kehadiran warga asing secara sah tidak ditolak, namun setiap individu tanpa mengira kewarganegaraan wajib menghormati undang-undang negara dan hak pemilik tanah.
"Sebarang dakwaan pencerobohan mesti disiasat berdasarkan fakta, bukan sekadar persepsi atau sentimen," tambahnya.