'Empat jam sebelum tiba di KLIA, ibu pergi dalam tidur'

Iklan
Hairulanuar bergambar bersama arwah ibunya ketika menunaikan umrah bersama.

SHAH ALAM - Perjalanan pulang sebuah keluarga dari Madinah ke Kuala Lumpur selepas menunaikan umrah berakhir dengan suasana hiba apabila ibu mereka menghembuskan nafas terakhir ketika berada dalam pesawat pada Isnin.

Lebih memilukan, Rubiah Suandi, 72, meninggal dunia dalam tidur kira-kira empat jam sebelum pesawat yang dinaiki bersama ahli keluarganya dari Madinah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan
Iklan

Anaknya, Hairulanuar Ali Hanapiah berkata, keluarga hanya menyedari keadaan ibunya tidak lagi memberi sebarang respons ketika pesawat berada di ruang udara negara India.

"Salah seorang adik cuba kejutkan emak, tetapi dia tidak memberi respons. Ketika itu, perjalanan masih berbaki kira-kira empat jam sebelum tiba di tanah air.

Iklan

"Kru penerbangan serta kapten ada bincang termasuk untuk mengubah laluan penerbangan tetapi kami reda dengan pemergian emak dan sepakat untuk meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, mereka bersyukur kerana semua ahli keluarga berpeluang berada di sisi ibu sepanjang perjalanan berkenaan.

Iklan

Mengimbas kembali keputusan membawa ibunya menunaikan umrah, Hairulanuar berkata, perancangan asal sebenarnya dibuat untuk Januari tahun depan melibatkan 12 ahli keluarga termasuk adik beradik serta ahli keluarga lain.

Katanya, selepas mengetahui Rubiah didiagnosis menghidap kanser tiroid pada Ogos lalu, keluarga mengambil keputusan mempercepatkan perjalanan berkenaan dan berangkat pada 15 November lalu.

"Tujuan utama kami ke sana adalah untuk berdoa, mengharapkan keizinan ALLAH SWT agar emak diberikan kesembuhan.

"Keadaan emak pada awal perjalanan agak lemah dan kelihatan keletihan, terutama ketika tiba di Makkah selepas perjalanan jauh namun, segala urusan ibadah umrah berjalan lancar walaupun berkerusi roda," katanya.

Tambah Hairulanuar, selepas meneruskan perjalanan ke Madinah, keadaan ibunya semakin baik apabila turut berpeluang mengunjungi Raudhah.

"Alhamdulillah, ketika di Madinah emak nampak lebih segar. Batuk pun sudah tiada dan kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya.

"Semalam emak banyak berehat selepas keletihan menunggu urusan di lapangan terbang sebelum menaiki pesawat, dia dilihat tidur dan kami fikir dia kepenatan sebelum kami cuba kejutkannya," katanya.

Tambahnya, pesawat berkenaan tiba di KLIA kira-kira jam 12.50 tengah hari sebelum jenazah dibawa ke Hospital Serdang bagi urusan dokumentasi.

Hairulanuar turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Malaysia Airlines (MAS), petugas lapangan terbang, polis serta individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu.

Katanya, jenazah arwah akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Kampung Ayer Manis, Batu 30, Kulai, Johor untuk disolatkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 32 berhampiran pada malam Isnin.