Bayi lima bulan parah diserang monyet masuk rumah

Iklan
Seorang bayi lelaki berusia lima bulan cedera di bahagian muka selepas diserang monyet liar di kediamannya di Kampung Paya Jaras Tengah pada Ahad. Foto tular media sosial

SUNGAI BULOH - Seorang bayi lelaki berusia lima bulan cedera parah di bahagian muka selepas diserang monyet liar di kediamannya di Kampung Paya Jaras Tengah di sini pada Ahad.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.18 malam ketika ibu mangsa berada di dapur, manakala bayi berkenaan sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ibu mangsa terdengar jeritan sebelum mendapati seekor monyet berada berhampiran bayinya.

"Monyet berkenaan dipercayai memasuki rumah melalui tingkap yang terbuka sebelum melarikan diri menerusi laluan sama.

Iklan

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.44 malam.

Iklan

Katanya, laporan berkenaan diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA) kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

"Orang ramai turut diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan," katanya.