Proses penyahklasifikasi minit pengampunan Najib: PM perlu beri penjelasan terbuka

Iklan
Noor Hariri  

KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberikan penjelasan terbuka berhubung proses penyahklasifikasi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan proses berkenaan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan tatacara pentadbiran yang sewajarnya.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara perkara perlu diperjelaskan ialah pihak yang mengarahkan atau meluluskan penyahklasifikasi itu dan asas perundangan digunakan serta sama ada proses berkenaan mendapat kelulusan sewajarnya termasuk peranan Jemaah Menteri.

Menurutnya, pendedahan minit mesyuarat yang membabitkan institusi tertinggi negara itu bukan perkara kecil kerana turut menimbulkan persoalan berkaitan tadbir urus, keselamatan dokumen rasmi kerajaan dan pematuhan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

Iklan

“Jika penyahklasifikasi dibuat tanpa melalui kelulusan atau proses sewajarnya, ia satu persoalan serius yang perlu diberikan perhatian," katanya dalam kenyataan.

Noor Hariri berkata, pendedahan kandungan minit berkenaan juga menimbulkan kebimbangan apabila membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mempersoalkan kewibawaan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

Katanya, kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan dan perlu dihormati semua pihak.

Beliau berkata, perbincangan dalaman Lembaga Pengampunan tidak seharusnya dijadikan bahan politik sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi berkenaan.

“Kerajaan tidak boleh bersikap selektif dalam soal ketelusan sehingga dokumen berkaitan proses pengampunan tertentu didedahkan kepada umum tanpa memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap implikasi kepada institusi Diraja dan kepentingan perlembagaan negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya siasatan bebas dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap penyahklasifikasi dan penyebaran dokumen tersebut selain memastikan semua tindakan mematuhi undang-undang.

Katanya, kepentingan politik kepartian tidak sepatutnya mengatasi kepentingan negara serta penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Institusi Raja-Raja Melayu bukan alat politik, Perlembagaan bukan bahan percaturan dan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong wajib dihormati serta dipelihara setiap lapisan kepimpinan negara,” katanya.