SHAH ALAM – Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) melancarkan buku 'Cinta Adalah Pengertian yang Bermakna' dengan menghimpunkan 105 puisi hasil karya 35 pengkarya sebagai usaha memperkaya khazanah sastera tanah air.
Senator, Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan berkata, penerbitan buku itu mengetengahkan pelbagai perspektif mengenai cinta, kehidupan dan kemanusiaan, selain menjadi wadah kepada pemuisi untuk berkarya serta berkongsi pemikiran menerusi penulisan kreatif.
Menurutnya, Pemuisi terus memainkan peranan penting dalam memartabatkan puisi, sastera, seni dan budaya tanah air menerusi penganjuran pelbagai aktiviti secara berterusan.
“Pemuisi terus memperkukuh usaha memartabatkan puisi, sastera, seni dan budaya tanah air menerusi pelbagai aktiviti serta program berterusan.
“Pemuisi antara NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang aktif menggerakkan kegiatan puisi dan kesusasteraan di Malaysia, selain berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat menerusi minat terhadap puisi,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran buku itu pada Malam Puitika Mahabbah anjuran Pemuisi dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf di Bangunan Karangkraf di sini Jumaat lalu.
Sementara itu, Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan berkata, persatuan itu turut giat menerbitkan buku dan majalah bagi memperluas pengetahuan, pengalaman serta memberikan manfaat kepada ahlinya.
“Sehingga kini, sebanyak 74 keluaran majalah bulanan Jurnal Pemuisi berjaya diterbitkan dengan kandungan merangkumi artikel menarik dan bermanfaat kepada ahli, selain laporan serta liputan aktiviti bulanan persatuan.
“Selain itu, Pemuisi juga berjaya menerbitkan sebanyak 40 buku terdiri daripada antologi puisi dan kumpulan puisi hasil karya ahli-ahlinya,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Media Karangkraf atas kerjasama menyediakan lokasi dan kemudahan jamuan bagi menjayakan program berkenaan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf merangkap Pengerusi Tetap Pemuisi, Datuk Mohamad Nasir Hamzah berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan persatuan itu bagi menjayakan pelbagai program kesenian dan kesusasteraan.
Menurutnya, usaha Pemuisi memperjuangkan puisi, sastera, seni dan warisan budaya merupakan inisiatif murni yang wajar diberikan sokongan berterusan.
“Kami di Karangkraf sentiasa terbuka dan menyambut baik permohonan serta cadangan Pemuisi untuk mengadakan pelbagai aktiviti. Antara program yang pernah dianjurkan di Karangkraf, antaranya Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM), Majlis Baca Puisi Antirasuah dan Majlis Baca Puisi Kemanusiaan Rohingya.
“Kami mempunyai kemudahan dewan yang boleh menampung program berskala kecil mahupun besar. Maklumkan sahaja keperluan Pemuisi kepada kami. Insya-Allah, kami bersedia untuk bekerjasama dan membantu merealisasikannya,” ujar beliau.