Warganet 'jatuh cinta' dengan pengawal peribadi jelita

Iklan
Xu Jin (kanan) mengiringi Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum sepanjang lawatan pemimpin itu di Shenzhen. Foto Agensi

BEIJING - Seorang pengawal peribadi wanita China mencuri perhatian selepas menerima penghargaan daripada Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum susulan tugasnya mengiringi dan menjaga keselamatan pemimpin itu sepanjang lawatan ke Shenzhen bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), minggu lalu.

Pengawal peribadi dikenali sebagai Xu Jin itu menjadi tular selepas Sheinbaum berkongsi gambar mereka menerusi media sosial pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menerusi hantaran berkenaan, Sheinbaum merakamkan penghargaan kepada Jin atas sokongan yang diberikan sepanjang lawatannya ke Beijing.

“Terima kasih atas sokongannya sepanjang lawatan kami. Beliau merupakan anggota pasukan keselamatan China,” tulisnya.

Iklan

Xu Jin (kanan) menjadi tular selepas Sheinbaum berkongsi gambar mereka menerusi media sosial.

Jin merupakan anggota Biro Perkhidmatan Khas di bawah Kementerian Keselamatan Awam dan ditugaskan mengawal keselamatan Sheinbaum sepanjang berada di Shenzhen.

Iklan

Jin mula menjadi tumpuan selepas rakaman video pada 16 November lalu menunjukkan beliau membuka pintu kenderaan untuk menyambut ketibaan Sheinbaum di bandar itu.

Berpakaian seragam gelap, Jin dilihat sentiasa mengiringi pemimpin wanita itu sepanjang beberapa urusan rasmi di Shenzhen.

Penampilannya yang menarik dan imej profesional ketika menjalankan tugas turut menjadi buah mulut warganet sehingga ada yang menggelarnya sebagai 'pengawal peribadi wanita paling cantik'.

Jin bukan sahaja pernah ditugaskan mengawal keselamatan Sheinbaum malah dilaporkan pernah mengiringi beberapa tokoh kenamaan lain termasuk bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Pengerusi Kuomintang Taiwan, Cheng Li-wun ketika lawatan mereka ke China.

Selain menghadiri sidang kemuncak APEC, Sheinbaum turut melawat dua hospital di Shenzhen bagi meninjau penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam urusan janji temu pesakit dan konsultasi jarak jauh.

Beliau juga mengunjungi sebuah restoran Mexico di Shekou untuk bertemu komuniti Mexico yang menetap di negara Asia Timur itu.

Sheinbaum menyifatkan Shenzhen sebagai bandar yang mengagumkan dan turut menzahirkan penghargaan atas layanan baik yang diberikan sepanjang lawatannya. – Agensi