UTQIAĠVIK, ALASKA – Penduduk Utqiaġvik, bandar paling utara di Amerika Syarikat, kini memasuki tempoh kegelapan berpanjangan apabila fenomena Malam Kutub (Polar Night) kembali melanda kawasan berkenaan bermula 18 November lalu.
Bandar yang dahulunya dikenali sebagai Barrow itu terletak dalam lingkungan Artik dan bakal melalui kira-kira 65 hari tanpa menerima cahaya matahari secara langsung.
Menurut data astronomi National Weather Service (NWS) Fairbanks, matahari dijangka kembali muncul di ufuk Utqiaġvik pada 23 Januari 2027, sekali gus menandakan berakhirnya tempoh Malam Kutub bagi tahun ini.
Fenomena tahunan itu berlaku disebabkan kecondongan paksi bumi kira-kira 23.5 darjah. Ketika musim sejuk di Hemisfera Utara, kawasan kutub berada pada kedudukan yang condong menjauhi matahari, menyebabkan cahaya matahari tidak dapat menyinari kawasan berkenaan secara langsung.
Bagaimanapun, keadaan di Utqiaġvik tidak bermakna bandar itu diliputi kegelapan sepenuhnya sepanjang 24 jam.
Memetik laporan The Weather Channel, penduduk tempatan yang dianggarkan berjumlah 5,000 orang masih dapat menikmati cahaya samar ketika fenomena senja sivil (civil twilight) selama beberapa jam sekitar tengah hari.
Keadaan itu berlaku apabila matahari berada sedikit di bawah ufuk, namun cahayanya masih mampu menerangi langit dengan rona kebiruan dan keunguan yang tersendiri, menurut laporan USA Today.
Sementara itu, Anchorage Daily News melaporkan kehidupan masyarakat di bandar berkenaan tetap berjalan seperti biasa meskipun berdepan tempoh tanpa cahaya matahari secara langsung selama lebih dua bulan.
Aktiviti harian termasuk urusan persekolahan dan perniagaan terus berlangsung dengan bantuan lampu jalan serta sistem pencahayaan buatan.
Selepas fenomena Malam Kutub berakhir pada 23 Januari 2027, tempoh siang di Utqiaġvik akan bertambah secara beransur-ansur setiap hari.
Keadaan itu kemudiannya akan berubah apabila bandar berkenaan memasuki musim panas dan mengalami fenomena bertentangan yang dikenali sebagai Matahari Tengah Malam (Midnight Sun), iaitu keadaan matahari kekal kelihatan walaupun pada waktu malam. - Agensi