PADANG RENGAS - Penyertaan Pas dalam Kerajaan Perpaduan mampu meredakan perseteruan politik, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan perpecahan masyarakat yang sedikit sebanyak dipengaruhi sentimen kaum dan agama yang sempit.
"Masih belum terlambat untuk mana-mana pihak menyahut seruan perpaduan yang dizahirkan ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan.
"Pastinya penyertaan Pas mampu menghentikan perseteruan politik yang sedikit sebanyak terheret sentimen kaum dan agama," katanya ketika ditemui pada Program Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Belajar di Pejabat Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan akan menjawab mengenai kemungkinan menyertai Kerajaan Perpaduan sekiranya DAP dikeluarkan daripada gabungan berkenaan.
Pendirian itu dibuat kerana perselisihan antara Pas dan Pakatan Harapan (PH) membabitkan soal dasar negara serta Perlembagaan yang menyentuh hak orang Islam.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, sokongan Pas terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpotensi membantu memperkukuh kestabilan politik negara.
Menurutnya, kestabilan politik penting bagi memastikan negara dapat mencapai kestabilan ekonomi menerusi prestasi dan pencapaian kerajaan yang lebih baik.
"Isu yang menjadi penghalang kepada penyertaan Pas bukanlah prestasi kerajaan, sebaliknya kedudukan DAP dalam gabungan berkenaan.
"Secara peribadi, saya mengalu-alukan sokongan Pas itu dan pihak lain terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan prestasi serta pencapaian kerajaan dapat terus kita perkemaskan dan perkukuhkan," katanya.