RM1.19 juta insentif hargai pencapaian cemerlang atlet Wilayah Persekutuan - Hannah Yeoh

Iklan
Hannah (enam dari kanan) menyampaikan cek insentif kemenangan kepada atlet Para Renang Wilayah Persekutuan pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Wilayah Persekutuan 2026 di Putrajaya pada Jumaat. - FOTO: Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) memperuntukkan sebanyak RM1.19 juta sebagai pembayaran insentif kemenangan dan penghargaan kepada atlet serta persatuan sukan yang merakamkan kecemerlangan sepanjang tahun 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pemberian insentif itu merupakan manifestasi penghargaan terhadap komitmen, disiplin serta pengorbanan berterusan barisan atlet dan pegawai sukan. 

Iklan
Iklan

"Bagi atlet yang berada di persimpangan, sebahagian daripada anda mungkin sedang mempertimbangkan sama ada mahu berhenti daripada sukan kompetitif atau meneruskan pengajian. Saya mahu MSWP meneliti kes-kes seperti ini.

"Saya percaya dalam iklim sukan masa kini, tiada keperluan untuk meninggalkan sukan atau mengabaikan pengajian. Kedua-duanya, sukan dan pendidikan boleh wujud bersama. Ia boleh wujud seiring,” katanya ketika berucap pada acara berkenaan di sini pada Jumaat. 

Iklan

Pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026, kontinjen Wilayah Persekutuan berjaya mengekalkan kedudukan naib juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut, menerusi kutipan 157 pingat merangkumi 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa di samping memecahkan empat rekod kejohanan.

Kecemerlangan turut dilakar pada saingan Para SUKMA Selangor 2026, apabila kontinjen itu yang bertanding di bawah satu bendera buat julung kalinya menduduki tempat keenam keseluruhan dengan kutipan 49 pingat, iaitu 13 emas, 26 perak dan 10 gangsa.

Iklan

Lebih membanggakan, tahun 2026 turut melakar sejarah apabila atlet para mula menerima insentif kemenangan daripada MSWP pada kadar setara dengan atlet SUKMA, bagi pencapaian pingat yang sama sebagai pengiktirafan kepada usaha mereka.

Pada arena antarabangsa, atlet Wilayah Persekutuan turut menyumbang kepada kejayaan kontinjen negara apabila merangkul dua pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Kontinjen Wilayah Persekutuan juga cemerlang menyumbang sebanyak 12 pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, serta tiga pingat pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 merangkumi satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Terdahulu, peruntukan besar itu merangkumi agihan sebanyak RM871,800 untuk kejohanan SUKMA Selangor 2026, Para SUKMA Selangor 2026 (RM178,900), Sukan Komanwel Glasgow 2026 (RM13,000), Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 (RM41,000), Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 (RM12,000) dan insentif khas WiJuara dan Perfect 10 (RM70,000). - Bernama