Ruang pejabat jadi 'rumah' pekerja asing

Iklan
Tinjauan mendapati pakaian disidai di luar unit premis dan tandas digunakan untuk mencuci pakaian

AMPANG - Sebuah ruang pejabat di sebuah bangunan di Pandan Indah di sini dipercayai disalahgunakan apabila dijadikan asrama pekerja warga asing, selain kemudahan tandas awam digunakan untuk aktiviti mandi dan membasuh pakaian.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan di lokasi berkenaan, wartawan Sinar Harian melakukan tinjauan dengan menyamar sebelum menaiki bangunan tersebut untuk meninjau premis yang dipercayai dijadikan asrama di tingkat 14.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pergerakan wartawan menarik perhatian seorang pengawal keselamatan yang mengajukan beberapa pertanyaan serta mendakwa ruang pejabat berkenaan kosong dan tidak diduduki sesiapa.

Wartawan kemudiannya memberikan alasan untuk bertemu seorang rakan yang dikatakan sedang menunggu di salah sebuah pejabat di tingkat sama bagi meneruskan tinjauan.

Iklan

Hasil pemerhatian mendapati beberapa helai pakaian disidai di hadapan pintu premis yang dipercayai dijadikan asrama tersebut.

Tandas lelaki yang dipercayai digunakan pekerja asing.

Iklan

Difahamkan, kira-kira 10 warga asing yang bekerja mengikut syif menetap di ruang pejabat berkenaan.

Sumber turut mendakwa tandas awam di luar unit pejabat tersebut digunakan sebagai tempat mandi dan membasuh pakaian oleh pekerja warga asing terbabit.

"Beberapa helai pakaian didapati disidai pada palang dan pembahagi tandas sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna lain, khususnya wanita.

"Tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian penggunaan kemudahan tandas awam di bangunan berkenaan sebagai tempat mandi dan membasuh pakaian," katanya.

Menurut sumber, tandas berkenaan sebelum ini turut mengalami kerosakan apabila sebahagian siling terbuka atau tertanggal, selain beberapa komponen lain didapati rosak.

"Malah, sebelum ini terdapat kepala paip atau komponen paip yang dipercayai telah ditanggalkan.

"Bagaimanapun, selepas aduan dibuat, tandas berkenaan telah dibaik pulih. Saya bimbang kemudahan itu kembali rosak memandangkan tandas yang sama turut digunakan oleh pekerja pejabat untuk mengambil wuduk," katanya.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad ketika dihubungi berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) perlu memastikan setiap premis digunakan mengikut fungsi dan kelulusan yang ditetapkan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku penyalahgunaan kemudahan bersama.

"Pemantauan perlu dilaksanakan bagi memastikan kemudahan awam di bangunan itu tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan keselesaan dan keselamatan pengguna lain," katanya.