MANJUNG - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyalurkan bantuan zakat lebih RM978,000 menerusi Program Jelajah MAIPk Bestari Daerah Manjung yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, penyaluran dana itu merangkumi manfaat wakaf, agihan daging segar kepada golongan asnaf serta bantuan bencana kepada masjid dan penduduk terjejas.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM396,000 diperuntukkan bagi agihan daging segar kepada golongan asnaf fakir dan miskin di daerah berkenaan bagi tahun ini.
"MAIPk turut menyampaikan bantuan bencana banjir berjumlah RM141,500 kepada penduduk Pulau Pangkor dengan kerjasama Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, bantuan bencana kebakaran berjumlah RM30,000 turut disalurkan kepada Masjid Al-Ikram, Sitiawan bagi membantu pihak masjid berkenaan.
Katanya, dalam program sama, MAIPk turut menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan berjumlah RM88,800 kepada anak-anak pekerja buruh Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
"Sebanyak RM50,000 pula disumbangkan kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat, Pangkalan TLDM bagi menyediakan kelengkapan pembelajaran termasuk meja, kerusi dan rak untuk kegunaan lapan kelas membabitkan 280 murid," katanya.
Syamsul Hazeman berkata, pendekatan turun padang itu turut menyantuni pesakit di Pusat Haemodialisis Wakaf Perak Al Ridzuan (WAPAR) dan Hospital Seri Manjung menerusi sumbangan 16 unit kipas berdiri dan kipas dinding bernilai RM4,500 untuk kegunaan Wad 5 (Kanak-kanak) hospital.
"Pelaksanaan program ini memberi peluang kepada pengurusan MAIPk meninjau keberkesanan bantuan yang disalurkan serta mengenal pasti keperluan semasa masyarakat setempat," katanya.