Pencerobohan tanah, hutan simpan Pahang rugikan negeri lebih RM1.3 bilion

Iklan
Wan Rosdy. - Foto Jabatan Penerangan Pahang.

KUANTAN – Pencerobohan tanah kerajaan dan penerokaan haram Hutan Simpan Kekal di Pahang mengakibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM1.3 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, justeru kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mengambil tindakan tegas serta melaksanakan langkah pemutihan bagi mengekang kegiatan pencerobohan tanah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pencerobohan tanah kerajaan melibatkan kawasan seluas 40,800 ekar dengan anggaran ketirisan hasil sebanyak RM391 juta.

"Perkara ini diselesaikan menerusi pemberimilikan kepada anak syarikat negeri dan pelaksanaan Skim Tanah Rakyat.

Iklan

"Selain itu, penerokaan haram Hutan Simpan Kekal seluas 38,600 ekar bagi tanaman durian Musang King dan kelapa sawit turut mengakibatkan kerugian nilai royalti balak sebanyak RM866.5 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Iklan

Wan Rosdy memaklumkan, UPNP berjaya merekodkan 158 kes tangkapan berkaitan perlombongan haram yang menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil mineral negeri sebanyak 124.9 peratus.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut memperkasakan UPNP menerusi penambahan 50 orang pegawai baharu menjadikan jumlah kekuatan keseluruhan seramai 220 orang.

"Langkah ini bagi memperkukuh lagi keupayaan tindakan di lapangan ke arah matlamat mensifarkan pencerobohan tanah di Pahang," tegasnya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, merajaan negeri memperuntukkan RM97.3 juta menerusi Teras Kelima bagi memastikan khazanah alam semula jadi Pahang terus dipelihara melalui pengurusan sumber asli secara lestari serta penguatkuasaan lebih tegas.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM88.4 juta disediakan untuk pengurusan dan pemeliharaan hutan, termasuk Ecological Fiscal Transfer (EFT), penanaman semula pokok, inventori, restorasi serta pelbagai program Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

"Bagi aspek pemuliharaan biodiversiti pula, Yayasan Pahang memperuntukkan RM2 juta untuk pembangunan Wildlife Conservation Park di Kuala Sat, Ulu Tembeling dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.

"Projek Living Lab dan Wildlife Conservation pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan UPM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu memberi tumpuan kepada penyelidikan saintifik, pemantauan gajah Asia serta pemeliharaan koridor hidupan liar yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Hutan Simpan Tekai," katanya

Dalam usaha mengurangkan kesan aktiviti industri terhadap alam sekitar, Wan Rosdy memaklumkan, sebanyak RM1.5 juta turut disediakan bagi pengurusan sisa dan pemulihan kawasan bekas lombong secara bertanggungjawab, termasuk meneroka potensi ekonomi baharu daripada sisa berkenaan.

Selain itu, katanya, sebanyak RM450,000 diperuntukkan bagi menghapuskan spesies ikan asing, khususnya ikan baung ekor merah, manakala RM1 juta disediakan untuk pelepasan ikan tempatan bagi memulihkan populasi spesies asli di perairan negeri.