SHAH ALAM - Seramai 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Turkiye menerusi program latihan kemahiran berstruktur selepas cadangan berkenaan mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat susulan lawatan kerja rasmi beliau ke Turkiye baru-baru ini sebagai sebahagian usaha kerajaan menangani isu pelarian Rohingya secara lebih tersusun dan berperikemanusiaan.
“Persetujuan Kerajaan Turkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya.
“Pendekatan ini bukan sekadar menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga, sebaliknya memberi mereka peluang membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, Malaysia dianggarkan memerlukan lebih satu abad untuk menyelesaikan isu penempatan semula pelarian sekiranya kadar penghantaran ke negara ketiga kekal seperti sekarang.
Menurutnya, hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga antara Januari hingga Jun 2026, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, bidang kemahiran yang ditawarkan akan diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Turkiye.
Katanya, pelarian yang terlibat akan dibekalkan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan relevan bagi meningkatkan kebolehpasaran serta membuka peluang menyertai pasaran pekerjaan di negara penerima, tertakluk kepada peraturan tempatan.
“Inisiatif ini juga selari dengan semangat penyelesaian jangka panjang oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya melalui pendekatan penempatan semula di negara ketiga.
“Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan,” ujarnya.
Beliau menambah, kerjasama strategik dengan negara ketiga seperti Turkiye berpotensi menjadi model baharu pengurusan pelarian yang lebih sistematik, mampan dan bermaruah.
Menurutnya, kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif itu bersama pihak berkuasa Turkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan dilaksanakan secara teratur.
“Proses itu akan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa yang berkaitan.
“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” jelasnya.
Kata beliau, inisiatif berkenaan turut mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan Turkiye dalam mencari penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang memberi kesan kepada kepentingan negara.