Dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi, pendekatan berasaskan wakaf semakin mendapat perhatian sebagai instrumen strategik yang berperanan menyokong kelestarian pembiayaan pendidikan serta memperkukuh pembangunan modal insan negara.
Menyedari pendidikan merupakan pemangkin utama mobiliti sosial dan kemajuan ekonomi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) memperkenalkan myWaqafPTPTN, iaitu platform wakaf tunai yang membolehkan masyarakat menyumbang kepada kelangsungan pendidikan generasi akan datang.
Inisiatif ini juga merupakan instrumen yang membolehkan sumbangan diterima daripada orang ramai, syarikat korporat atau organisasi untuk sama- sama berkongsi tanggungjawab dalam memperkasakan akses kepada pendidikan tinggi negara, terutamanya kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Inisiatif ini bukan sekadar menghimpunkan dana, sebaliknya membina ekosistem kebajikan yang memberi manfaat berterusan melalui konsep wakaf yang berkekalan.
Setiap sumbangan wakaf diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia dan dilaburkan dalam instrumen yang mematuhi prinsip syariah, manakala hasil pulangan pelaburan dimanfaatkan oleh PTPTN untuk menyediakan biasiswa kepada mahasiswa daripada keluarga asnaf, B40 dan M40 yang layak.
Pendekatan ini membolehkan nilai sesuatu wakaf terus berkembang dari semasa ke semasa, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai pelajar tanpa mengira latar belakang atau agama.
Lebih penting, myWaqafPTPTN membawa mesej bahawa pendidikan ialah pelaburan terbaik untuk membina masa depan negara.
Setiap biasiswa yang disalurkan bukan sahaja membuka peluang kepada seorang pelajar melanjutkan pengajian, malah berpotensi mengubah masa depan sebuah keluarga.
Apabila seseorang graduan berjaya meningkatkan taraf hidup, memperoleh pekerjaan berkualiti dan kembali menyumbang kepada masyarakat, manfaat wakaf itu terus berkembang melangkaui penerima asal.
Kitaran inilah yang menjadikan wakaf pendidikan sebagai instrumen pembangunan sosial yang memberi impak jangka panjang kepada negara.
Bagi masyarakat, menyertai myWaqafPTPTN bermakna menyumbang kepada satu legasi ilmu yang berterusan.
Tiada had minimum atau maksimum ditetapkan untuk berwakaf, malah sumbangan yang dibuat turut layak menikmati potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat, menurut Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Lebih daripada sekadar memenuhi tanggungjawab sosial, setiap sumbangan menjadi amal jariah yang manfaatnya terus mengalir selagi ilmu yang diperoleh dimanfaatkan oleh penerima.
Dalam konteks Malaysia Madani yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan kemampanan, myWaqafPTPTN menjadi wadah yang menghubungkan semangat memberi dengan usaha melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan mampu memacu pembangunan negara pada masa hadapan.