PENAMPANG - Sebanyak 396,000 tin minuman keras pelbagai jenama bernilai RM13.92 juta yang disembunyikan dalam beberapa buah kontena dan kenderaan di sebuah premis di sini dirampas dalam Op Taring Alpha 2 pada Khamis.
Serbuan kira-kira jam 10.15 pagi itu dijalankan pasukan Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bagi menumpaskan sindiket dipercayai terbabit dalam kegiatan penyimpanan serta pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi berkenaan membawa kepada penahanan dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan Indonesia.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemukan sejumlah besar minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di dalam beberapa buah kontena dan enam kenderaan pengangkut.
"Secara keseluruhan, rampasan melibatkan kira-kira 396,000 tin minuman keras pelbagai jenama dengan nilai RM13.068 juta.
"Selain itu, polis turut merampas enam buah lori bernilai RM850,000 serta tiga telefon bimbit bernilai RM3,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM13.921 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai telah beroperasi kira-kira enam bulan sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam.
"Kedua-dua lelaki yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan penghantar minuman keras berkenaan dengan menerima bayaran gaji secara tunai kira-kira RM3,000 sebulan.
"Mereka dipercayai menerima bayaran daripada seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Teck," katanya.
Menurutnya,kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan serta siasatan lanjut.
"Kejayaan operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai yang boleh menyebabkan ketirisan hasil pendapatan negara," katanya.