SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan beliau belum layak memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan susulan namanya antara yang disebut menggantikan Datuk Ismail Lasim.
Beliau mengakui mempunyai hubungan rapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi namun ia bukan bermakna mempunyai kelebihan untuk dipilih mengisi jawatan tertinggi pentadbiran negeri itu.
Menurutnya, semua wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai hubungan rapat dengan Presiden parti itu serta sentiasa berjumpa dan berbincang mengenai pelbagai perkara.
"Kalau nama saya disebut disebabkan rapat dengan Presiden UMNO, saya nak beritahu bahawa semua wakil rakyat UMNO/BN sangat rapat dengan Presiden.
"Kami sentiasa berjumpa dan berbincang. Ayahanda Presiden umpama ayah kepada kami," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Selain nama Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO turut dikaitkan dengan spekulasi berkenaan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga nama berkenaan setakat ini masih menjadi spekulasi dan keputusan pelantikan Menteri Besar baharu adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Terdahulu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu mengemukakan satu nama calon bagi mengisi kekosongan Menteri Besar Negeri Sembilan susulan peletakan jawatan Ismail.
Nama tersebut telah dikemukakan kepada Tuanku Muhriz menerusi warkah yang diserahkan bagi mendapatkan perkenan baginda.