KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mempergiat pemantauan terhadap aktiviti sosial warga asing, termasuk komuniti warga Afrika yang didakwa menimbulkan kebimbangan berkaitan ketenteraman awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan tanpa tertumpu kepada sesuatu tempoh atau kumpulan warga asing tertentu.
"Sekiranya terdapat kesalahan dan keperluan untuk menjalankan operasi, kita akan laksanakannya dari semasa ke semasa tanpa mengira sama ada membabitkan warga Afrika atau warga asing dari negara lain," katanya.
Fadil berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, pihaknya merancang beberapa operasi bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain bagi menangani isu berkenaan.
"Operasi itu akan turut membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang.
"Kita akan terus memantau keadaan supaya perkara ini dapat dikawal dan tidak melarat sehingga menimbulkan masalah lain yang boleh mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan kehadiran warga asing yang membawa budaya dan gaya kehidupan berbeza perlu dipantau bagi memastikan ia tidak menjejaskan keselamatan serta keharmonian masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat termasuk rakaman video atau gambar berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis untuk tindakan segera.
"Kita menggalakkan orang ramai menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan sebarang maklumat supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin sebelum perkara lebih serius berlaku atau mengancam keselamatan awam," katanya.
Sebelum ini, Bukit Aman mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kesahihan dakwaan bahawa terdapat kegiatan organisasi jenayah terancang dari Nigeria dikenali sebagai De Norsemen Kclub International (DNKI) atau Vikings di Malaysia.
Dakwaan mengenai kumpulan itu menjadi perhatian susulan satu hantaran di media sosial yang mendakwa organisasi itu kini bertapak di Malaysia.
Hantaran itu turut mendakwa sebahagian anggota kumpulan berkenaan memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar sebelum direkrut menjadi ahli, selain mengaitkan kegiatan mereka dengan beberapa aktiviti mencurigakan termasuk perhimpunan yang memaparkan logo dan simbol kumpulan berkenaan.