KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima sebanyak 1,305 aduan berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran bagi tempoh 2025 hingga 2026, termasuk struktur yang dibina berhampiran infrastruktur kritikal seperti hospital dan institusi perubatan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 114 aduan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah kerana perkara berkenaan terletak di bawah bidang kuasa jabatan itu.
"Susulan itu, sebanyak 197 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh PBT melibatkan 432 tindakan penguatkuasaan yang merangkumi pengeluaran notis amaran, pengenaan kompaun, arahan berpindah serta tindakan perobohan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.
KPKT menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang meminta perincian tindakan terhadap aduan pembinaan rumah anutan tanpa izin khususnya berdekatan infrastruktur kritikal seperti hospital masih berlarutan, walaupun kerajaan telah memberikan jaminan tiada struktur terkecuali daripada undang-undang pembinaan bangunan.
Menurut kementerian itu, Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT termasuk semua jenis rumah ibadat iaitu masjid, gereja, tokong dan kuil, tanpa sebarang pengecualian dan keistimewaan terhadap mana-mana agama.
Seksyen 72 (1) akta sama juga menyatakan jika PBT mendapati suatu bangunan telah didirikan atau sedang didirikan atau hampir hendak didirikan bersalahan dengan Seksyen 70, PBT boleh mengeluarkan notis menghentikan pendirian bangunan dan meruntuhkan bangunan itu dalam masa yang dinyatakan oleh PBT.
Bagi rumah ibadat yang dibina secara tidak sah di atas tanah kerajaan, tindakan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta kerajaan negeri, dengan Pejabat Tanah dan Daerah akan mengeluarkan notis kepada penceroboh atau pendudukan tanpa kebenaran berdasarkan Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
"Sekiranya bangunan (rumah ibadat) dibina di tanah persendirian, pemilik tanah tidak dibenarkan bertindak sendiri (perobohan sendiri) bagi mengelakkan ketegangan kaum/ agama.
"Tindakan yang perlu diambil ialah membuat laporan polis dengan segera, menghantar notis kepada pihak yang membina rumah ibadat dan memaklumkan kepada Pejabat Daerah/ PBT,” kata kementerian berkenaan.
Selain itu, Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) akan diaktifkan untuk bertindak sebagai pengantara, memanggil semua pihak bagi mencari penyelesaian yang munasabah.
KPKT memaklumkan bahawa setiap aduan akan disemak dan tindakan sewajarnya diambil secara berterusan, tegas serta menyeluruh bagi memastikan pembangunan dan penggunaan tanah tanpa kebenaran dapat dikawal khususnya yang melibatkan keselamatan dan kepentingan awam. - Bernama