KOTA TINGGI - Segala keputusan serta pengumuman rasmi berhubung status peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim dan calon Menteri Besar yang baharu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Istana Negeri Sembilan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menegaskan perkara itu berkata, segala butiran lanjut mengenainya perlu menunggu pengumuman istana.
"Hasilnya biar diumumkan oleh istana sendiri dan juga oleh Datuk Ismail Lasim. Jadi saya merasakan bahawa ada sesuatu yang telah diputuskan bersama oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Datuk Ismail (dalam sesi menghadap semalam)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Desaru Coast Conference Centre di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya telah mengutus warkah kepada pihak istana namun belum menerima sebarang titah untuk menghadap.
"Warkah telah diutus. Jadi setakat ini saya belum (menerima) titah untuk menghadap dan kami menaruh kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembah maklum warkah berkenaan. Satu sahaja (nama calon), tetapi biar istana yang umumkan," katanya.
Isnin lepas, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa isu peletakan jawatan Menteri Besar adalah urusan rasmi pentadbiran negeri dan tidak sewajarnya dicampuradukkan dengan hal peribadi atau keluarga.
Pada Selasa, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Tuanku Muhriz juga semalam turut dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu dengan sesi menghadap bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.
Pada Isnin lepas, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerima satu salinan surat peletakan jawatan berkenaan, yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. - Bernama