Pas pilih BN kerana 'asabiah' bukan prestasi - Amanah

Iklan
Khalid

PASIR MAS - Keputusan Pas untuk terus bersama Barisan Nasional (BN) didakwa lebih berlandaskan sentimen 'asabiah' Melayu dan Islam berbanding penilaian terhadap prestasi pentadbiran kerajaan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, pendirian itu menimbulkan persoalan kerana prestasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepatutnya menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan kerjasama politik.

Iklan
Iklan

"Bekas pemimpin Pas yang kini kembali bersama parti itu, Dr Rosli Yaakob, sebelum ini menulis bahawa Pas sepatutnya bersama PH (Pakatan Harapan) dan kerajaan pimpinan Anwar berdasarkan prestasi pentadbiran yang disifatkannya amat memberangsangkan," katanya semasa sidang media pada Rabu.

Sebelum itu beliau merasmikan Penyerahan Jengkaut Hidraulik Di Bawah Peruntukan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini.

Iklan

Menurut Khalid, Dr Rosli yang juga seorang ahli ekonomi membuat penilaian berdasarkan prestasi, sekali gus berpandangan Pas tidak mempunyai alasan untuk memilih BN berbanding PH.

"Kalau berdasarkan prestasi, Pas sepatutnya bersama PH dan PMX, bukan dengan BN. Kalau bersama BN, tidak ada benda yang boleh dipelajari, kecuali seni sakau," katanya.

Iklan

Beliau memberitahu, tulisan Dr Rosli itu turut diedarkan kepada pihak media sehari sebelum Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan parti berkenaan akan terus bersama BN dan istiqamah dengan pendirian tersebut.

Khalid turut mempersoalkan asas keputusan itu kerana beliau sukar untuk menerima alasan prestasi sebagai faktor utama Pas memilih BN.

Katanya, pendirian itu mungkin didorong sentimen 'asabiah' Melayu dan Islam atau keinginan untuk menyingkirkan PH daripada kerajaan walaupun prestasi pentadbiran semasa dinilai tinggi.

"Kalau bukan kerana prestasi, mungkin kerana 'asabiah' Melayu Islam atau mahu menjatuhkan PH.

"Dua perkara yang mungkin menjadi sebab Pas memilih BN ialah mahu belajar seni sakau atau kerana 'asabiah' Melayu Islam. Kedua-duanya tidak wajar bagi sebuah parti Islam kerana boleh menghakis identiti Pas," katanya.