NGO kemuka lima tuntutan terhadap LTAT, pencarum berhak tahu asas pemilihan Achi Jaya

Iklan
Pertubuhan Negarawati Tanahair menuntut lima perkara daripada LTAT berhubung isu pemilihan Achi Jaya Plantations untuk mengambil alih kepentingan BPlant. Foto kecil: Bibi Sunita

SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Negarawati Tanahair menuntut lima perkara daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berhubung isu pemilihan Achi Jaya Plantations untuk mengambil alih kepentingan Boustead Plantations (BPlant).

Pengerusinya, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, tuntutan dimaksudkan adalah asas pemilihan Achi Jaya Plantations termasuk kriteria dan kelebihan tawarannya.

Iklan
Iklan

Selain itu katanya, kewajaran nilai transaksi dan pelaksanaan penilaian bebas selain keupayaan kewangan pembeli dari sudut sumber pembiayaan, jadual pembayaran serta jaminan yang melindungi LTAT jika gagal memenuhi obligasi.

Menurut Bibi Sunita, pihaknya turut mendesak LTAT mendedahkan pemilik benefisial muktamad pembeli bagi memastikan wujud aspek ketelusan pemilikan dan proses kelulusan serta meminta lembaga itu menjelaskan kesan jangka panjang pengambilalihan kepada pencarum.

Iklan

"Pencarum LTAT termasuk anggota tentera, pesara dan keluarga masing-masing berhak tahu dan mendapat keyakinan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan LTAT memilih Achi Jaya Plantations untuk mengambil alih kepentingan BPlant bernilai sekitar RM4.3 bilion.

Iklan

Pemilihan itu menarik perhatian ramai kerana Achi Jaya Plantations mengatasi dua lagi entiti besar yang turut bersaing dalam proses berkenaan iaitu SD Guthrie Bhd dan Tradewinds Plantation Bhd.

Mengulas lanjut, Bibi Sunita menegaskan bahawa pihaknya akan membantah jika transaksi tersebut dimuktamadkan tanpa penjelasan mencukupi tentang proses pemilihan, kewajaran harga dan perlindungan kepentingan pencarum.

Baginya, persoalan yang mesti dijawab ketika ini adalah sama ada pemilihan dibuat melalui proses penilaian adil, teliti dan boleh dipertanggungjawabkan atau tidak.

Tambah beliau, kepentingan pencarum mesti menjadi ukuran utama dalam pembuatan keputusan itu.

"Anggota tentera dan keluarga bukan sekadar angka dalam kertas kerja. Mereka berhak mendapat keyakinan bahawa aset yang menyokong masa depan, diurus dengan penuh amanah.

"Justeru, kami menggesa LTAT memberikan penjelasan rasmi segera. Sekiranya persoalan material mengenai penilaian, pembiayaan dan proses pemilihan belum terjawab, perbuatan memuktamad transaksi wajar ditangguhkan bagi membolehkan pelaksanaan semakan bebas.

"Tuntutan ketelusan ini bukan tuduhan bahawa salah laku telah berlaku. Ia tuntutan tanggungjawab supaya keputusan bernilai besar benar-benar menjaga kepentingan pencarum LTAT," ujar Bibi Sunita.