Negara kecil, membangun perlu dilayan penuh hormat dan bermaruah

Iklan
Anwar ketika menyampaikan ucapan sempena Sidang Kemuncak CEO APEC 2026 di Shenzhen, China pada Rabu. - FOTO: Bernama

SHENZHEN - Negara-negara kecil dan ekonomi yang sedang pesat membangun mesti dilayan dengan penuh hormat, bermaruah dan setara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, era kolonial dan imperialisme sudah tiada lagi dan dunia sudah memasuki era baharu dengan keyakinan dan ketegasan yang lebih tinggi.

Iklan
Iklan

“Saya ingin memuji kepimpinan China dan Presiden Xi Jinping kerana memberikan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap perkara ini.

“Daripada kawasan paling terpencil hinggalah ke Afrika, Asia dan Amerika Latin, kita memerlukan pengiktirafan sedemikian kerana negara-negara ini telah mengalami penderitaan yang amat besar akibat penjajahan dan penindasan selama bertahun-tahun, malah berdekad-dekad lamanya.

Iklan

“Mereka memerlukan nafas baharu melalui kerangka perdagangan dan pelaburan ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2026 di Shenzhen, China pada Rabu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pembangunan tidak akan memberi sebarang erti jika tidak melaksanakan dasar yang bukan sahaja memperkukuh kerjasama, tetapi juga meningkatkan perdagangan dan inovasi, memajukan teknologi baharu serta meneroka bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Iklan

“Negara-negara yang relatif lebih maju dan berjaya perlu bersedia berkongsi pengalaman melalui pelaburan.

“Pada masa sama, peluang juga perlu diberikan kepada ekonomi sedang pesat membangun dan negara membangun untuk turut serta dalam proses tersebut. Keseluruhan kerangka pelbagai hala perlu berubah,” ukar beliau.

Sehubungan itu beliau berkata, APEC mempunyai peranan yang amat unik dan tersendiri.

“Saya baru sahaja menghadiri Persidangan Ketua-ketua Kerajaan ASEAN di Manila yang menggalakkan semangat keseluruhan mekanisme ASEAN.

“Namun, prinsip yang sama tetap menjadi asasnya iaitu multilateralisme, menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta menjalinkan hubungan dengan semua pihak, termasuk Amerika Syarikat, Eropah, negara-negara Asia, Afrika dan China,” jelas Anwar.

Beliau menegaskan prinsip kepusatan ASEAN amat penting kerana sesebuah negara tidak boleh memaksakan pendirian atau keadaan khususnya kepada negara lain untuk menentukan keputusan mereka.

“Kita mesti menerima hakikat bahawa setiap negara perlu diberikan ruang untuk berkembang, memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan kerana akhirnya perkara tersebut akan membawa manfaat kepada rakyat masing-masing.

“Itulah konsensus yang telah kita bina dalam ASEAN, sekali gus memperkukuh dasar dan pendirian kita berhubung prinsip kepusatan ASEAN,” katanya.