Politik tidak pernah tunggu sesiapa, angka jadi ukuran sebenar kekuatan parti

Iklan
Azizi

GEORGE TOWN – Parti politik tidak boleh terlalu selesa dengan sokongan yang dimiliki kerana perubahan sentimen pengundi boleh berlaku dalam tempoh singkat, manakala angka keputusan pilihan raya menjadi ukuran sebenar kekuatan sesebuah parti.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, politik merupakan permainan angka yang memerlukan setiap parti bukan sahaja melihat keputusan pilihan raya, malah menganalisis dan mentafsir data bagi memahami penerimaan rakyat terhadap mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, angka tidak boleh dimanipulasi mengikut emosi atau kepentingan politik kerana keputusan sebenar perlu diterima secara terbuka termasuk apabila ia menunjukkan prestasi yang mengecewakan.

“Politik ini permainan angka. Sebab itu kita kena tengok angka, analisis angka dan tafsir angka.

Iklan

“Angka tidak menipu, tidak pandai membodek dan tidak mengikut emosi. Kalau undi dapat 2.61 peratus, itulah angkanya dan bukannya 26 peratus.

"Kalau 47 calon bertanding tetapi tiada satu pun menang, maka sifar kerusi dan bukannya hampir menang,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, terdapat kecenderungan dalam kalangan parti yang tewas dalam pilihan raya untuk menggambarkan prestasi mereka secara positif dengan menggunakan pelbagai naratif seperti peningkatan undi, sokongan semakin bertambah, kemenangan moral dan momentum politik.

Bagaimanapun, katanya, angka sebenar perlu diteliti bagi menentukan sama ada peningkatan tersebut benar-benar mencerminkan perubahan sokongan pengundi atau sekadar peningkatan kecil daripada asas yang rendah.

“Ramai yang kalah dalam pilihan raya lepas cuba memutar angka. Ada yang mengatakan undi meningkat 100 peratus, sokongan bertambah, memperoleh kemenangan moral dan masih mempunyai momentum.

“Tetapi apabila kita buka kiraan sebenar, peningkatan 100 peratus itu mungkin hanya daripada 1.5 peratus kepada tiga peratus. Parti masih kehilangan deposit,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, selepas meneliti angka, analisis lebih mendalam boleh dilakukan bagi memahami sebab keputusan tersebut berlaku termasuk mengenal pasti pihak yang ditolak dan diterima pengundi serta implikasinya terhadap pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, parti politik tidak seharusnya menolak hakikat sesuatu keputusan hanya kerana angka yang diperoleh tidak menyebelahi mereka.

“Jangan marah kalau angka itu pahit. Angka pahit itu ubat. Kalau kita tolak ubat, penyakit tidak akan sembuh,” tambahnya lagi.

Mengulas prestasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, Azizi berkata, pencapaian parti itu berdasarkan keputusan yang dikemukakan menunjukkan prestasi yang lebih mengecewakan apabila dibandingkan dengan parti politik baharu.

Katanya, Bersatu bukan parti baharu kerana pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan selain pernah mempunyai Perdana Menteri dan Menteri Besar.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod tiga PRN berkenaan, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi daripada keseluruhan 47 calon yang diketengahkan.

“Di Johor, 16 calon bertanding dan kesemua 16 calon kalah tanpa memenangi sebarang kerusi manakala 10 calon hilang deposit.

“Di Negeri Sembilan pula, 24 calon bertanding, kesemuanya kalah tanpa satu kerusi pun dimenangi dan 23 calon hilang deposit.

“Di Melaka, tujuh calon bertanding, kesemuanya kalah tanpa memenangi kerusi dan lima calon hilang deposit,” katanya.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga PRN itu menyaksikan Bersatu meletakkan 47 calon tetapi gagal memenangi sebarang kerusi selain 38 calon kehilangan deposit.

Azizi berkata, angka berkenaan perlu dilihat secara objektif bagi menilai tahap penerimaan pengundi terhadap parti itu, bukannya bergantung kepada persepsi atau naratif yang dibina selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Beliau turut mengemukakan perbandingan jumlah undi yang diperoleh Bersatu berbanding keseluruhan undi sah di ketiga-tiga negeri berkenaan.

"Di Johor, Bersatu memperoleh 46,072 undi daripada keseluruhan 1,874,918 undi sah, bersamaan 2.46 peratus. Di Negeri Sembilan, parti itu mendapat 16,757 undi daripada 638,377 undi sah, iaitu 2.62 peratus.

"Sementara itu, di Melaka, BERSATU memperoleh 15,428 undi daripada 488,737 undi sah, bersamaan 3.16 peratus.

Jika digabungkan keputusan ketiga-tiga PRN berkenaan, Bersatu memperoleh keseluruhan 78,257 undi daripada 3,002,032 undi sah iaitu hanya 2.61 peratus," katanya.

Menurut Azizi, daripada kira-kira tiga juta undi sah, Bersatu hanya memperoleh sekitar 2.6 undi bagi setiap 100 undi yang dibuang.

“Itulah angka sebenar yang perlu dilihat dan dianalisis, bukannya angka yang dibina berdasarkan persepsi sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Azizi berkata, perubahan sentimen pengundi merupakan antara cabaran terbesar yang perlu difahami semua parti politik kerana sokongan rakyat bukan sesuatu yang kekal.

Menurutnya, sesuatu parti yang dilihat kukuh minggu lalu boleh kehilangan pengaruh pada minggu berikutnya manakala pihak yang dianggap sudah kehilangan peluang pula berupaya kembali mencatat kemenangan.

"Tiada kemenangan yang abadi, tiada kekalahan yang mutlak, tiada kawan yang setia selama-lamanya dan tiada lawan yang menjadi musuh sepanjang masa dalam politik.

“Pengundi bukan patung dan mereka bukan ahli parti yang terikat dengan sumpah. Mereka bebas berubah. Hari ini marah, minggu depan sudah lupa. Hari ini menyokong, minggu depan membenci.

“Hari ini mahukan kestabilan, minggu depan mahukan perubahan. Hari ini menekankan perpaduan, minggu depan hanya memikirkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, parti yang gagal membaca perubahan tersebut berisiko dihukum oleh pengundi sendiri kerana masih menggunakan pendekatan dan skrip kempen lama untuk menangani isu semasa.

Malah katanya, satu pendedahan baharu boleh mengubah sentimen, satu kenyataan mampu mengubah persepsi, pembentukan gabungan baharu boleh mengubah perkiraan politik manakala satu kesilapan boleh merosakkan imej yang dibina selama bertahun-tahun.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa politik bukan sekadar mengenai pihak yang merasakan dirinya paling benar sebaliknya keupayaan membaca perubahan sentimen dan memahami perkara yang benar-benar dikehendaki rakyat.

Dalam pada itu, Azizi turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu taksub atau fanatik terhadap mana-mana parti dan pemimpin politik sehingga menganggap mereka tidak mempunyai kelemahan.

Katanya, apabila seseorang pemimpin jatuh, parti mengalami kekalahan atau gabungan politik berpecah, penyokong yang terlalu meletakkan harapan kepada mereka akhirnya mungkin menjadi pihak paling kecewa.

“Jangan jadikan politik sebagai agama dan jangan jadikan pemimpin parti sebagai manusia yang tiada cacat cela.

“Yang kekal dalam politik hanyalah dua perkara, iaitu kepentingan dan angka. Kepentingan berubah mengikut keadaan, manakala angka berubah mengikut undi. Kedua-duanya boleh berubah dalam tempoh seminggu.

“Sesiapa yang tidak bersedia untuk berubah akan ditinggalkan. Politik tidak pernah tunggu sesiapa,” katanya.