PASIR MAS – Empat pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini mencipta kejayaan luar biasa di pentas antarabangsa apabila berjaya menghasilkan racun serangga perosak organik dan minyak aromatik penghalau Aedes pertama daripada daun pokok gelam.
Ciptaan produk AgriMist G dan Gelamora Oil itu mendapat pengiktirafan melalui empat anugerah pada pertandingan 'Global Youth Sustainable Development Goal Innovation Camp dan International Olympiad Science and Technology Competition (IOSTC)' di Semarang, Indonesia pada Selasa lepas hingga Isnin.
Mereka ialah pelajar berusia 16 tahun iaitu Adlan Hanzalah Redza Ansar dan Muhammad Syafi Hasnan Mahassan yang mencipta AgriMist G. manakala Wan Mohd Eiman Hadif Wan Mohd Azan serta Muhammad Qaesh A’bid Mohd Syafik Afendy mencipta Gelamora Oil.
Pertandingan menghimpunkan peserta dari 15 negara termasuk Itali, Denmark, Hungary, Luxembourg, Turkmenistan, El Salvador, Mexico, Algeria, Nepal, China, Thailand, Indonesia dan Singapura.
Ketua kumpulan AgriMist G, Adlan Hanzalah berkata, idea menghasilkan produk berkenaan tercetus apabila mereka melihat banyak pokok gelam tumbuh di sekitar kampung khususnya di Lubok Jong, namun daunnya tidak dimanfaatkan penduduk.
“Biasanya batang pokok gelam dipotong untuk dijadikan pagar rumah kerana keras dan lasak, manakala daunnya dibiarkan begitu sahaja.
“Jadi, kami terfikir untuk menggunakan daun itu bagi menghasilkan produk sendiri selepas mengetahui potensi kandungannya melalui pembacaan jurnal dan penyelidikan di internet,” katanya ketika ditemui di SMKA Lati di sini pada Rabu.
AgriMist G yang dihasilkan bersama rakannya, Muhammad Syafi menggunakan hidrosol daripada proses penyulingan daun gelam sebagai racun serangga perosak organik bagi menghalau serangga seperti afid dan lalat putih yang menyerang tanaman.
Produk itu berjaya memenangi 'Grand Prix Secondary Level', pingat emas kategori 'Environment' dan anugerah 'The Best Poster', sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada kejayaan pasukan berkenaan di Semarang.
Sementara itu, dua lagi pelajar, Wan Mohd Eiman Hadif dan Muhammad Qaesh A’bid menghasilkan Gelamora Oil, minyak aromatik daripada daun gelam yang berfungsi menghalau nyamuk Aedes.
“Cara guna minyak Gelamora, titis dua hingga tiga titis ke dalam alat pelembap udara dan wap aromatik yang terhasil akan membantu menghalau nyamuk.
“Kajian awal kami menunjukkan minyak yang diekstrak daripada daun gelam ini menunjukkan keberkesanan awal sebanyak 90 peratus dalam menghalau nyamuk Aedes,” ujar Wan Mohd Eiman Hadif.
Produk berkenaan memenangi pingat emas kategori Health Science dalam pertandingan sama.
Guru pembimbing, Mardiana Syarita Mohd Razmin berkata, kedua-dua projek dibangunkan melalui penyelidikan dan penambahbaikan dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta Jabatan Pertanian Pasir Mas.
Menurut Guru Kanan Sains dan Matematik SMKA Lati itu, penyelidikan Gelamora Oil bermula pada Februari lalu, manakala AgriMist G menyusul pada April sebelum kedua-duanya dipertandingkan.
Katanya, pelajar turut berpeluang mendapatkan bimbingan pensyarah dan pakar universiti serta menggunakan kemudahan makmal bagi menjalankan kajian.
“Dua projek yang kami cipta berjaya mendapat pingat emas. AgriMist G pula berjaya berada dalam kelompok lima terbaik daripada 49 projek sebelum diumumkan sebagai pemenang Grand Prix bagi peringkat sekolah menengah.
“Kami sangat bersyukur kerana turut membawa pulang anugerah The Best Poster,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu menjadi dorongan untuk pasukan berkenaan menghasilkan lebih banyak projek baharu bagi menyertai IOSTC di Bali, Indonesia pada Julai tahun depan selepas mendapat tajaan Cipta Inovasi Indonesia.
Tambahnya, sekolah berharap dapat menghantar lebih daripada dua projek pada pertandingan akan datang dengan memberi tumpuan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Sebagai rekod, AgriMist G telah didaftarkan di bawah hak cipta MyIPO, manakala Gelamora Oil masih dalam proses pendaftaran.
Kedua-dua produk juga sedang diteliti untuk dikembangkan ke peringkat pengkomersialan.
Pada Selasa, mereka diraikan dalam satu majlis yang dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad yang diiringi Pengetua SMKA Lati, Dr Wan Mohd Zuhairi Wan Abdullah.