Belanjawan Terengganu 2027: Kayu ukur baharu menilai pembangunan negeri dan negara

Iklan
Ahmad Samsuri menunjukkan buku Belanjawan Terengganu 2027.

PEMBENTANGAN Belanjawan Terengganu 2027 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada 16 November lalu memperlihatkan pendekatan menarik dalam perancangan pembangunan negeri.

Berbeza daripada kelaziman pembentangan belanjawan yang banyak tertumpu kepada angka peruntukan, projek dan pengumuman bantuan, kali ini Menteri Besar memberikan penekanan kepada hala tuju strategik yang perlu digerakkan oleh seluruh jentera pentadbiran negeri.

Iklan
Iklan

Melalui tema Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera, lima fokus utama digariskan, iaitu pengukuhan tadbir urus dan fiskal, pertumbuhan ekonomi, pembangunan pelancongan, pemerkasaan modal insan serta kesejahteraan rakyat.

Pendekatan strategy map atau peta strategi ini menjadi panduan kepada seluruh agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan untuk bergerak ke arah matlamat pembangunan yang sama.

Iklan

Pada pandangan saya, pendekatan ini memperlihatkan usaha meletakkan belanjawan sebagai instrumen pengurusan strategik yang menghubungkan dasar, sumber, pelaksanaan dan keberhasilan.

Persoalannya bukan lagi semata-mata berapa banyak projek diumumkan, tetapi bagaimana perancangan tersebut mampu meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Iklan

Peta strategi yang baik memerlukan pelan tindakan, penyelarasan agensi dan pemantauan berkesan. Setiap fokus mesti diterjemahkan kepada sasaran, garis masa, tanggungjawab serta ukuran keberhasilan. Terengganu telah mempunyai mekanisme tersebut melalui Jawatankuasa Induk Pelaksanaan dan Penyelarasan Inisiatif Utama Kerajaan (ICC-KGI) yang menyelaraskan inisiatif belanjawan, PITAS2030 dan komitmen kerajaan.

Mekanisme ini perlu dimanfaatkan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan halangan dapat diselesaikan lebih awal.

Dalam menilai pendekatan pembangunan ini, pemikiran Ibn Khaldun melalui teori ‘umran dalam karya agungnya, al-Muqaddimah, memberikan kerangka menarik untuk memahami makna kemakmuran.

Teori ini menjelaskan bahawa kemakmuran bukan sekadar kemajuan fizikal atau pertumbuhan ekonomi, tetapi suatu proses dinamik yang melibatkan manusia, masyarakat, kegiatan ekonomi, ilmu pengetahuan, pemerintahan serta pembangunan rohani dan jasmani.

Prof. Mahayudin Hj. Yahaya (2011) menjelaskan bahawa ‘umran membawa pengertian kemakmuran, manakala ‘umran al-‘alam merujuk kepada kemakmuran sejagat yang melangkaui pembangunan kebendaan.

Dalam kerangka ini, kemakmuran memerlukan tiga asas utama, iaitu masyarakat yang beragama dan berakhlak mulia, masyarakat yang bekerjasama dan bersatu padu serta pemerintahan yang adil dan saksama.

Pendekatan ini mempunyai hubungan dengan konsep Negeri Berkebajikan, salah satu daripada tujuh prinsip PITAS2030. Allah SWT melalui surah al-Baqarah, ayat 177, menjelaskan bahawa kebajikan sebenar bukan sekadar amalan zahir, tetapi merangkumi keimanan, tanggungjawab membantu golongan memerlukan, menunaikan amanah dan janji serta kesabaran menghadapi kesusahan.

Ayat ini memberikan asas bahawa pembangunan negeri berkebajikan perlu menggabungkan kekuatan akidah, pembinaan akhlak dan tanggungjawab sosial.

Justeru, kemakmuran tidak boleh diukur melalui kekayaan sumber atau pembangunan infrastruktur semata-mata. Ukuran sebenarnya ialah kemampuan rakyat memperoleh pekerjaan, meningkatkan pendapatan, mengakses pendidikan serta menikmati kehidupan yang selamat dan bermaruah.

Dalam konteks inilah pertumbuhan ekonomi, modal insan, tadbir urus dan kesejahteraan rakyat perlu bergerak secara saling melengkapi.

Belanjawan 2027 memperuntukkan RM1.983 bilion bagi perbelanjaan mengurus, termasuk RM450 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Daripada peruntukan pembangunan tersebut, RM346 juta atau 77 peratus diberikan kepada sektor sosial.

Keutamaan ini memperlihatkan perhatian kerajaan terhadap keperluan rakyat melalui Program RAHMAT, Kad Sejahtera Fasa 6, Wad Kelas Ketiga Percuma dan pelbagai inisiatif perlindungan sosial.

Bagaimanapun, cabaran sebenar bukan sekadar menyediakan peruntukan, tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.

Dalam sistem pengurusan kualiti, terdapat perbezaan antara aktiviti, output, keberhasilan (outcome) dan impak. Projek yang siap merupakan output, sedangkan perubahan kehidupan rakyat ialah ukuran keberhasilan yang lebih bermakna.

Bantuan perumahan, misalnya, bukan hanya dinilai melalui jumlah rumah disiapkan, tetapi sejauh mana keluarga memperoleh kediaman yang selesa dan selamat.

Oleh itu, penilaian keberhasilan berasaskan data perlu menjadi sebahagian daripada pelaksanaan setiap inisiatif.

Selain bantuan sosial, pertumbuhan ekonomi produktif amat penting untuk membina kemakmuran jangka panjang.

Bantuan meringankan beban kehidupan, tetapi pekerjaan dan peningkatan pendapatan membolehkan rakyat membina keupayaan ekonomi secara mampan.

Penegasan Menteri Besar supaya agensi pembangunan ekonomi tidak lagi sekadar menunggu kehadiran pelabur, sebaliknya bergerak secara agresif dan proaktif, merupakan suatu anjakan penting.

Terengganu mempunyai potensi dalam sektor petroleum dan petrokimia, mineral bernilai tinggi, industri halal, pertanian serta ekonomi baharu.

Pembangunan ECRL, pelabuhan dan kawasan perindustrian turut membuka peluang memperkukuh perdagangan, logistik dan rantaian pengeluaran.

Namun, potensi tersebut memerlukan ekosistem pelaburan yang cekap. Sehubungan itu, TSIS melihat keperluan memperkasakan Invest Terengganu melalui tiga pendekatan utama, iaitu menjadikannya pusat sehenti (One Stop Centre) bagi pelaburan dan projek berimpak tinggi, memperkukuh pemudahcaraan serta penyelarasan pelaburan negeri, dan mewujudkan tadbir urus lebih lincah tanpa birokrasi yang ketat, namun kekal di bawah kawalan negeri.

Usaha ini turut disokong oleh inisiatif Pemajuan Inklusif Terengganu bagi Aspirasi Hasil (PITAH) yang mempercepat urusan pembangunan melalui pendekatan laluan pantas (fast lane). Gabungan kedua-duanya penting bagi menarik pelabur, menyelesaikan halangan dan memastikan pelaburan direalisasikan.

Walau bagaimanapun, kejayaan pelaburan tidak seharusnya diukur melalui nilai yang diumumkan semata-mata. Ukuran lebih bermakna ialah pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, peluang graduan tempatan dan penyertaan perusahaan negeri dalam rantaian bekalan. Industri mineral, misalnya, perlu dikembangkan ke aktiviti hiliran supaya nilai tambah ekonomi kekal di Terengganu.

Pelaburan juga perlu disertai pembangunan kemahiran dan pemindahan teknologi.

Dalam merealisasikan agenda pembangunan tersebut, keupayaan manusia dan institusi pelaksana tidak boleh diabaikan.

Perancangan yang baik boleh gagal apabila mandat tidak jelas, penyelarasan lemah atau keputusan tidak diterjemahkan kepada tindakan.

Menerusi inisiatif berimpak tinggi (HPI) Belanjawan Terengganu 2027 yang menekankan peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling) penjawat awam, TSIS melihat keperluan memperluas pembangunan kompetensi kepada kepimpinan negeri, agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Bagi tujuan tersebut, sebuah jawatankuasa induk dicadangkan untuk menetapkan hala tuju, menyelaras pelaksanaan dan memantau keberhasilannya.

Pada masa yang sama, satu kerangka kompetensi sumber manusia negeri perlu dibangunkan sebagai rujukan penyediaan modul yang menekankan kecekapan, tindakan berimpak serta kecemerlangan peribadi dan khidmat.

Darul Iman Training Centre (DITC) pula dicadangkan untuk diperkasakan sebagai pusat latihan negeri. Gabungan jawatankuasa induk, kerangka kompetensi dan pusat latihan sendiri ini akan membentuk ekosistem pembangunan kompetensi yang bersepadu, sekali gus berpotensi menjadi kekuatan baharu Terengganu dalam meningkatkan keupayaan sumber manusia dan keberkesanan pentadbiran negeri.

Pada pandangan saya, tema Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera amat tepat dalam menggambarkan aspirasi Menteri Besar untuk membangunkan Terengganu secara menyeluruh. Kebahagiaan rakyat bukan hanya bergantung kepada bantuan, tetapi juga peluang ekonomi, pendidikan, kekuatan institusi dan kehidupan masyarakat yang harmoni.

Inilah hakikat kemakmuran menurut pemikiran Ibn Khaldun, apabila pembangunan kebendaan bergerak seiring dengan pembangunan manusia dan pemerintahan yang adil.

Dengan hala tuju Belanjawan 2027 serta dukungan seluruh jentera negeri, aspirasi Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera dapat terus diperkukuh demi manfaat rakyat.

*Dr Zulhimi Abd Rahman ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Peningkatan Kualiti dan Produktiviti. Bidang kepakaran beliau merangkumi pengukuran kualiti dan produktiviti, sistem pengurusan kualiti Islam serta pengurusan dan perancangan strategik.