KLSCSH: RM4.67 juta jadi RM1,000, apa yang tidak kena?

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai keputusan kerajaan mengurangkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000. Foto kecil: Mohd Radzi

SAYA terkejut membaca keputusan kerajaan mengurangkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000 bagi pembaharuan pajakan selama 99 tahun.

Keputusan ini sukar dijustifikasikan dan saya tidak nampak ada penjelasan yang boleh meyakinkan rakyat khususnya orang Melayu.

Iklan
Iklan

Justeru, ada beberapa persoalan yang kerajaan perlu jawab.

Pertama, premium asal RM4.67 juta tentu mempunyai asas penilaian. Kalau angka itu betul, bagaimana tiba-tiba boleh menjadi RM1,000?

Iklan

Kalau RM1,000 pula betul, apakah asas penilaian terdahulu? Adakah kita boleh tahu bagaimana proses ini dilakukan? Siapa pengerusi dan ahlixnya yang meluluskan?

Kedua, alasan bangunan warisan agak menghairankan. KLSCAH telah diwartakan sebagai bangunan warisan sejak 2007.

Iklan

Mengapa selepas hampir 19 tahun, status tersebut kini menjadi antara alasan pengurangan premium yang begitu besar?

Ketiga, Menteri Hannah Yeoh menjelaskan bahawa status tanah ditukar daripada komersial kepada institusi. Saya faham perubahan kategori boleh menurunkan nilai tanah.

Tetapi adakah ia munasabah sehingga premium berkurang hampir 100 peratus? Tanah institusi di Kuala Lumpur bukannya tidak mempunyai nilai!

Keempat, adakah pertubuhan Melayu, India, persatuan veteran, badan kebajikan dan pemilik bangunan warisan lain juga boleh menikmati pengurangan premium sebanyak 99.98 peratus?

Kalau boleh, umumkan dasar yang sama kepada semua. Jangan ada persepsi layanan terpilih.

Kelima, dimanakah keutamaan Bahasa Melayu dalam pengumuman rasmi kerajaan persatuan boleh menggunakan pelbagai bahasa.

Saya tidak menentang KLSCAH atau pemeliharaan warisan masyarakat Cina. Sumbangan sejarah mereka wajar dihormati.

Tetapi penghormatan terhadap warisan tidak bermakna keputusan kewangan kerajaan tidak boleh dipersoalkan.

Kerajaan perlu mendedahkan asas penilaian asal, penilaian baharu dan kriteria kelulusan pengurangan premium tersebut.

Jangan jadikan isu ini isu perkauman. Ini isu ketelusan, keadilan dan tatakelola kerajaan.

RM4.67 juta mungkin boleh dikurangkan menjadi RM1,000. Tetapi apabila kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin berkurangan, berapa juta ringgit pun belum tentu mampu membelinya kembali pada PRU 16 nanti.

Jangan tanya kenapa kalah? Tepuk dada tanya selera.

*Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Mohd Radzi Haji Abdul Hamid ialah mantan Ketua Pengarah Sekretariat Angkatan Masa Hadapan di Markas ATM.