Revolusi penerbangan elektrik, China uji pesawat CE-25A

Iklan
Pesawat berkenaan menggunakan sistem tujahan menggunakan beberapa kipas elektrik yang dipasang pada sayap pesawat dan direka untuk membawa sehingga 19 penumpang bagi perjalanan jarak dekat antara bandar. Foto Agensi

BEIJING - China mencipta satu lagi pencapaian membanggakan dengan membangunkan teknologi penerbangan mesra alam apabila berjaya melengkapkan penerbangan ujian pertama pesawat komersial elektrik yang membawa juruterbang, sekali gus membuka lembaran baharu dalam industri penerbangan negara itu.

Pesawat elektrik CE-25A yang dibangunkan oleh Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC) menyelesaikan penerbangan ujian sejauh 60.4 kilometer di Binzhou, wilayah Shandong pada Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Pencapaian itu memperlihatkan perkembangan teknologi penerbangan elektrik Beijing ketika industri penerbangan global giat meneroka alternatif lebih mampan bagi mengurangkan penggunaan bahan api konvensional dan pelepasan karbon.

Pesawat berkenaan menggunakan sistem tujahan menggunakan beberapa kipas elektrik yang dipasang pada sayap pesawat. Ia direka untuk membawa sehingga 19 penumpang bagi perjalanan jarak dekat antara bandar.

Iklan

Penerbangan ujian yang berlangsung selama 57 minit 46 saat itu membawa dua juruterbang dan seorang jurutera ujian penerbangan, dengan tempoh berada di udara selama 16 minit 38 saat.

Pesawat itu yang mempunyai berat maksimum 10 tan ketika berlepas mampu mencapai kelajuan sehingga 300 kilometer sejam dan terbang pada ketinggian 2,400 meter serta mempunyai jarak penerbangan sehingga 400 kilometer.

Iklan

CE-25A merupakan pesawat komersial elektrik pertama dibangunkan COMAC yang turut bekerjasama dengan pengeluar bateri China, Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL), Universiti Jiao Tong Shanghai dan beberapa rakan industri tempatan.

Ia pernah menjalani ujian penerbangan autonomi tanpa juruterbang buat kali pertama pada 2 Februari lalu. Sepanjang proses pembangunan, CE-25A dilaporkan telah melengkapkan 19 penerbangan ujian autonomi tanpa juruterbang.

Pesawat itu bagaimanapun masih perlu melalui proses pensijilan sebelum mendapat kelulusan untuk beroperasi bagi tujuan komersial.

Kejayaan tersebut turut menarik perhatian pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai perkembangan penting dalam teknologi penerbangan elektrik.

Namun, ada juga yang berseloroh mempersoalkan sama ada penumpang perlu membawa pengecas mudah alih ketika menaiki pesawat berkenaan. - Agensi