JABALPUR – Tindakan berani seorang wanita di Madhya Pradesh, India menangkap seekor buaya sepanjang kira-kira 1.2 meter sebelum membawanya sendiri kepada pegawai Jabatan Perhutanan mencetuskan perhatian ramai.
Insiden luar biasa itu berlaku di perkampungan Sunpur Ghana, daerah Jabalpur selepas Lakpat Yadav dan isterinya mendakwa terpaksa bertindak sendiri apabila pasukan penyelamat hidupan liar tidak kunjung tiba meskipun pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai kehadiran reptilia sesat itu.
Pasangan petani itu menemui buaya berkenaan di sebuah kolam berhampiran kawasan tanah pertanian mereka.
Yadav kemudiannya menghubungi pegawai Jabatan Perhutanan bagi meminta bantuan menangkap dan memindahkan reptilia tersebut.
Bagaimanapun, pasangan itu mengambil keputusan untuk menangkap sendiri buaya sepanjang kira-kira 1.2 meter itu menggunakan jaring.
Lebih mengejutkan, isteri Yadav mengambil inisiatif sendiri dengan mengangkat buaya itu sebelum membawanya ke pejabat Jabatan Perhutanan untuk diserahkan kepada pegawai bertugas.
Kejadian itu mencetuskan persoalan dalam kalangan penduduk mengenai kelewatan pihak berkuasa memberikan bantuan. Penduduk mendakwa mereka terpaksa mengambil risiko sendiri selepas tiada pasukan penyelamat tiba di lokasi meskipun aduan telah dibuat. - Agensi