SHAH ALAM - Kebajikan 10 anggota polis yang cedera dalam kemalangan membabitkan 11 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Kilometer (KM) 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Selasa diberikan perhatian segera.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau turut mengarahkan PDRM memastikan semua anggota yang cedera menerima rawatan terbaik.
"Saya turut mengikuti perkembangan keadaan anggota-anggota yang cedera dan mengarahkan pihak PDRM untuk memastikan mereka mendapat rawatan yang terbaik serta menyegerakan segala urusan berkaitan kebajikan mereka," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, seorang anggota polis maut manakala empat lagi parah selepas van jenis Maxus yang membawa 11 anggota polis termasuk pemandu sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke Melaka.
Mangsa maut dikenal pasti sebagai Lans Korporal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, van itu dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kiri pecah secara tiba-tiba sebelum melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.
Saifuddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob yang maut dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, kehilangan anggota itu pastinya amat dirasai bukan sahaja oleh keluarga Allahyarham, malah seluruh warga PDRM.
"Semoga ALLAH SWT merahmati roh Allahyarham, memberikan ketabahan kepada keluarganya dan mengurniakan kesembuhan kepada semua yang cedera," ujarnya.