KUALA LUMPUR - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) digesa memperincikan status aduan berhubung dakwaan pencampuran minyak sawit dari Indonesia dengan minyak sawit tempatan membabitkan kapal MT Eunice di Pelabuhan Klang pada 30 September lalu.
Maritime Network Sdn Bhd menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima maklum balas lanjut daripada MPOB berhubung aduan yang dikemukakan pada 19 Oktober lalu.
Menurut syarikat itu, aduan berkenaan dibuat susulan dakwaan berlakunya aktiviti pencampuran minyak sawit olein bertapis dari Indonesia dengan minyak sawit olein mentah Malaysia ketika kapal tersebut berada di Pelabuhan Klang.
"Berdasarkan butiran aduan, kapal MT Eunice dipercayai membawa kira-kira 15,000 tan metrik kargo minyak sawit, termasuk 5,000 tan metrik yang didakwa dimuatkan di Pelabuhan Klang.
"Maritime Network turut mendakwa berlaku pertukaran bil muatan (Bill of Lading) sehingga keseluruhan kargo diisytiharkan sebagai minyak sawit olein mentah, selain nama pengirim ditukar kepada sebuah syarikat Malaysia," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan memaklumkan surat yang diterima daripada MPOB hanya mengesahkan penerimaan aduan tanpa memperincikan sama ada dakwaan pencampuran serta perubahan dokumen kargo tersebut telah disiasat atau disahkan.
Menurut Maritime Network, penjelasan MPOB penting bagi memastikan sama ada aktiviti pencampuran berkenaan mendapat kelulusan atau kebenaran sewajarnya.
"Adakah MPOB menyemak sama ada aktiviti pencampuran tersebut mendapat kelulusan atau kebenaran sewajarnya, selain mengesahkan pengisytiharan serta kuantiti kargo berdasarkan dokumen berkaitan?" katanya.
Tambah syarikat itu, sekiranya dakwaan berkenaan terbukti benar, ia boleh menimbulkan persoalan mengenai ketepatan pengisytiharan gred dan asal produk, kebolehkesanan sumber minyak sawit serta pematuhan terhadap peraturan pelesenan dan kawalan mutu MPOB.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan daripada sumber industri bahawa minyak sawit import dicampurkan dengan bekalan tempatan sebelum dieksport semula, dengan nisbah campuran 75:25 atau 80:20 disebut dalam pasaran.
Amalan tersebut, jika benar berlaku, berpotensi menyebabkan minyak sawit dari luar negara dipasarkan sebagai produk Malaysia, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap jenama minyak sawit tempatan serta pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).