SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu, Sabah.
Zulkifli berkata, kejayaan menawan puncak tertinggi di Malaysia bersama warga jabatan merupakan pengalaman bermakna.
Menurut beliau, perjalanan pendakian yang merentasi kedinginan malam dan laluan berbatu serta curam menjadi ujian tersendiri sebelum tiba di puncak.
“Ia menjadi saksi bahawa tiada kejayaan yang hadir tanpa kesabaran, doa serta kebergantungan mutlak kepada Yang Maha Kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau turut menyifatkan pengalaman berdiri di puncak tertinggi itu sambil menyaksikan keindahan alam sebagai peringatan terhadap kekerdilan manusia berbanding kebesaran Sang Pencipta.
Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi kenyataan berasingan memaklumkan, misi pendakian menempuh cabaran dengan semangat kebersamaan, keazaman dan ketabahan.
Menurut Jakim, beberapa penanda arah kiblat yang telah disemak dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah turut ditempatkan di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian.
Jelasnya, ia bagi memudahkan pendaki melaksanakan ibadah solat.
Selain misi pendakian, kata Jakim, program turut diisi dengan sesi ramah mesra serta penyampaian sumbangan kepada malim gunung di Kinabalu Park sebagai tanda penghargaan atas khidmat dan komitmen dalam membantu serta memastikan keselamatan pendaki.
"Jakim turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, petugas, malim gunung dan komuniti setempat, khususnya penduduk Kampung Mesilou atas kerjasama menjayakan keseluruhan program berkenaan.
"Semoga ukhuwah dan semangat kebersamaan yang terbina terus menyuburkan usaha dakwah serta khidmat kepada masyarakat," ujarnya.