SHAH ALAM -"Hanya dengan serangkap pantun, mereka melenting. Saya tenang sahaja, seperti biasa saya seorang yang tenang."
Demikian reaksi Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan susulan beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) mendesaknya meletak jawatan jika tidak lagi bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Maslan berkata, tiada keperluan melayan kehendak kelompok berkenaan kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri tidak meminta dirinya meletak jawatan.
Malah, menurut Ahli Parlimen Pontian itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mencadangkan namanya untuk memegang jawatan Timbalan Menteri.
"Ada Ahli Parlimen (MP) minta saya letak jawatan. Presiden UMNO tak minta saya letak jawatan pun.
"Saya faham parti MP itu terluka sebanyak empat kali. Di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan terkini di Melaka.
"Jika di Sarawak pihak mereka bertanding, mungkin akan kalah untuk kali kelima," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Ahmad menambah, beliau memahami reaksi pihak berkenaan yang melenting hanya kerana serangkap pantun.
Pada Isnin, persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Ahmad menyampaikan pantun yang mengandungi perkataan 'kencing' ketika menjawab celahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berhubung isu penghapusan tol.
Insiden itu mencetuskan reaksi beberapa Ahli Parlimen PH yang mendesak Ahmad meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.
Antara yang membuat desakan tersebut ialah Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson), Aminolhuda Hassan (Sri Gading), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat).