SEREMBAN - Selepas 106 hari memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim akhirnya meletakkan jawatan berkuat kuasa 16 November.
Kenyataan berhubung peletakan jawatan pemimpin utama Negeri Sembilan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut Zambry, Ismail telah mengutuskan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.
Beliau berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan.
Bagaimanapun, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh ketika dihubungi pemberita menerusi WhatsApp enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit.
Beliau turut meminta diberikan sedikit ruang buat masa ini.
"Maaf...tiada pc (sidang media) atau press statement (kenyataan media) dari saya. Terima kasih," katanya ringkas.
Perkembangan terbaharu itu menimbulkan persoalan mengenai faktor sebenar yang mendorong Ismail mengambil keputusan berkenaan, selepas beberapa hari memaklumkan kepada media bahawa perbincangan berhubung krisis adat dan pentadbiran negeri itu kini menunjukkan perkembangan positif.
Beliau berkata, ia termasuklah memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicadangkan berlangsung pada 26 November ini, disusuli pembentangan Belanjawan Negeri 2027, dapat dilaksanakan.
Perkara itu dimaklumkan ketika beliau ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Sembilan di Tampin pada 12 November lalu.
Namun, pada Sabtu lalu, tular surat Ismail bersama 20 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) didakwa menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkenaan status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail ketika ditemui pada Majlis Sambutan Deepavali 2026 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, pada hari sama, turut mengesahkan kewujudan surat berkenaan.
Beliau berharap keputusan itu dapat membantu menyelesaikan krisis yang sedang melanda negeri berkenaan.
Melihat kepada perkembangan terbabit, timbul dakwaan bahawa Ismail kemungkinan dinasihatkan oleh pihak tertentu supaya melepaskan jawatan.
Menurut sumber, Ismail sebenarnya tidak bersedia meletakkan jawatan dan mahu menyelesaikan krisis di Negeri Sembilan.
Malah kata sumber itu, beliau telah pun mendapat tarikh menghadap Tuanku Muhriz bagi menyembah maklum tarikh persidangan DUN akan datang.
"Ikutkan tarikh menghadap dah ada. Tak tahulah, kami pun terkejut," kata sumber.
Untuk rekod, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu.
Beliau berkhidmat sebagai ADUN merangkumi kawasan Senaling dan Juasseh secara berturut-turut, serta pernah memegang pelbagai portfolio Exco Negeri Sembilan sejak 1999 hingga 2026.