MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif menyifatkan kemenangan besar diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai hadiah kepada jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berkata, meskipun menyedari wujud gelombang biru susulan penyatuan BN dan PN menerusi Muafakat Melaka, beliau tidak menjangkakan memperoleh majoriti sebesar itu.
Menurutnya, beliau tidak mengambil mudah peluang sepanjang tempoh dua minggu berkempen, sebaliknya berusaha sehabis baik bagi meyakinkan pengundi untuk memberikan mandat kepadanya.
"Memang saya tidak jangka jumlah majoriti yang sebesar itu. Cuma dari awal saya tidak boleh mengatakan kita sudah berada di zon selesa walaupun kita faham berlaku satu gelombang yang sangat baik, iaitu gelombang biru di bawah penyatuan ummah ini.
"Kami cuba sehabis baik sepanjang tempoh berkempen termasuk dengan bantuan jentera parti serta pemimpin di peringkat pusat, negeri dan DUN.
"Bagi saya, kemenangan besar ini sebenarnya satu hadiah buat rakan-rakan terutama jentera parti," katanya ketika ditemui pada istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Ahad.
Pada PRN yang diadakan Sabtu lalu, Muhammad Ridzuan berjaya menewaskan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari yang juga penyandang kerusi berkenaan dengan majoriti 6,607 undi.
Muhammad Ridzuan memperoleh 15,305 undi, diikuti Adly dengan 8,698 undi; Dr Aliza Che Amran (Bersama) sebanyak 1,119 undi dan Abu Bakar Sabudin (Bebas) dengan 115 undi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama antara BN dan PN turut memainkan peranan penting dalam mencetuskan gelombang kemenangan apabila kedua-dua gabungan itu berjaya memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN.
Ujarnya, penyatuan itu bukan sahaja memperkukuh gerak kerja kempen, malah berjaya merapatkan hubungan antara kedua-dua parti yang sebelum ini agak sukar untuk bersemuka.
"Sangat-sangat membantu dan kita boleh lihat pencapaian keseluruhan apabila kita menang 24 daripada 28 kerusi.
"Di Bukit Katil sendiri, apabila berlaku penyatuan antara PN dan BN, segala gerak kerja dibuat secara bersama-sama.
"Lebih daripada itu, sebelum ini mungkin agak sukar untuk kita berbincang atau bersemuka tetapi apabila ada penyatuan ini, terjalin ukhuwah yang sangat baik," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Ridzuan berkata, keutamaan beliau selepas memenangi kerusi berkenaan adalah memberi tumpuan kepada kebajikan penduduk menerusi penambahbaikan kemudahan asas.
Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan paip, jalan raya dan sistem perparitan antara perkara yang akan diberi perhatian dalam tempoh 100 hari pertama selaras dengan manifesto kerajaan negeri.