BANGKOK - Penemuan ikan yang mengalami pembengkakan seperti lepuh, luka serta perubahan warna pada sirip di Sungai Mekong mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat.
Aktivis alam sekitar, Aombun Thipsuna berkata, keadaan luar biasa itu berkemungkinan akibat pencemaran arsenik dan logam berat lain di sungai berkenaan.
Beliau turut berkongsi gambar ikan spesies keli yang dikenali sebagai 'pla khae' pada 14 November lalu, yang digelar penduduk setempat sebagai 'ikan zombi' berikutan keadaan fizikalnya.
Aombon mendakwa, pencemaran logam berat mungkin melemahkan sistem imun ikan dan menjadikan ia lebih mudah terdedah kepada penyakit.
Bagaimanapun, katanya, punca sebenar keadaan itu masih belum disahkan.
Menurut beliau, nelayan tempatan sudah menemui ikan dengan keadaan tidak normal yang sama sejak tempoh selepas pandemik Covid-19.
Malah, pemantauan Jabatan Kawalan Pencemaran Wilayah 9 di Udon Thani turut merekodkan peningkatan kepekatan logam berat di Sungai Mekong sejak 2023.
"Tahap pencemaran meningkat dengan lebih ketara antara 2024 hingga 2026, manakala bacaan arsenik pada Ogos lalu menunjukkan paras tiga hingga empat kali ganda melebihi had piawaian 0.01 miligram (mg) seliter di kawasan Loei dan Nong Khai.
"Kami bersama nelayan tempatan mengumpulkan hampir 60 ekor ikan untuk pemeriksaan di Universiti Naresuan dan kira-kira enam daripadanya mengalami lepuh dan luka ketara, manakala 30 hingga 40 ekor lagi menunjukkan gejala awal seperti kemerahan pada sirip dan ekor serta kemunculan lepuh kecil," ujarnya.
Beliau mengakui bimbang keadaan ikan berkenaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya terus berada di dalam sungai, malah sesetengah ikan 'pla khae' yang boleh membesar dengan berat sehingga 60 kilogram dilaporkan mengalami penyakit serius atau mati sebelum usia matang.
Aombun turut memberi amaran bahawa pencemaran air sungai boleh mengancam sektor pertanian dan komuniti yang bergantung kepada Sungai Mekong, termasuk hampir 2,500 stesen pengepaman air di sepanjang sungai itu merentasi tujuh wilayah di timur laut Thailand yang membekalkan air.
Katanya, hasil tanaman menggunakan sumber air berkenaan turut diedarkan ke pasar utama termasuk Pasar Si Mum Mueang dan Talad Thai, manakala ujian di beberapa kawasan daerah Sangkhom serta Phon Phisai di Nong Khai didakwa mendapati bekalan air komuniti tidak memenuhi piawaian kualiti.
"Aktiviti perlombongan membabitkan pelabur asing di negara jiran antara sumber kemasukan logam berat ke Sungai Mekong.
"Ini termasuk kegiatan yang dikaitkan dengan kepentingan China, Myanmar dan Laos berhampiran anak sungai Sung serta Ngum dengan sisa operasi berkenaan didakwa mengalir ke sungai itu," kata beliau. - Agensi