PUTRAJAYA – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan kekalahan dalam pilihan raya tidak bermakna sesuatu perjuangan telah berakhir, sebaliknya prinsip dan idealisme perlu terus dipertahankan.
Menurutnya, Amanah menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan hati terbuka kerana dalam sebuah negara demokrasi, rakyat mempunyai hak menentukan pihak yang mahu diberikan mandat untuk memerintah.
Menurutnya, kemenangan pilihan raya perlu dibezakan daripada kemenangan sesuatu perjuangan kerana kejayaan meraih kuasa tidak semestinya membuktikan sesuatu pihak memperjuangkan prinsip yang benar.
"Kita boleh kehilangan jawatan. Kita boleh kalah dalam pilihan raya. Tetapi apabila kita mengorbankan prinsip untuk mendapatkan kuasa, ketika itulah kita sebenarnya telah kalah dalam perjuangan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada PRN Melaka, Amanah yang bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) gagal memenangi sebarang kerusi daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Keputusan itu menyaksikan PH hanya memperoleh empat kerusi yang kesemuanya dimenangi calon DAP, manakala rakan gabungannya iaitu PKR juga gagal memperoleh sebarang kemenangan.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, politik berasaskan sentimen kaum dan agama mungkin mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun pendekatan sedemikian tidak semestinya dapat bertahan selama-lamanya.
"Rakyat boleh berubah. Pemikiran masyarakat boleh berkembang. Mereka tidak semestinya selama-lamanya terikat dengan sentimen keturunan, warna kulit atau agama," jelas beliau.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menjelaskan, pengundi akan semakin menilai kebolehan pemimpin, dasar yang ditawarkan, kejujuran serta kemampuan menyelesaikan masalah kehidupan mereka.
"Apabila rakyat semakin matang, mereka akan bertanya tentang kebolehan pemimpin, dasar yang ditawarkan, kejujuran dan kemampuan menyelesaikan masalah kehidupan mereka," katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, Amanah dan PH perlu terus membuktikan bahawa politik berasaskan keadilan, integriti dan khidmat kepada rakyat merupakan pilihan lebih baik.
Menurutnya, kemenangan yang diperoleh menerusi eksploitasi ketakutan dan sentimen tidak membawa makna sekiranya rakyat terus berdepan pentadbiran yang lemah serta tidak amanah.
"Perjuangan kita bukan untuk memastikan orang tertentu terus berkuasa, tetapi untuk memastikan negara ini terus dipimpin dengan adil dan amanah.
"Itulah tanggungjawab yang mesti kita pertahankan," katanya.