KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Isnin untuk direkod keterangan berkenaan sajak karyanya bertajuk 'Patik Tak Rela'.
Menurut Hassan, beliau dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada jam 3 petang.
Iklan
Iklan
"Siasatan berkaitan sebuah sajak karya saya yang tular di media sosial bertajuk 'Patik Tak Rela'," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, dirinya akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Ahad, Hassan meluahkan rasa kecewa berhubung isu Datuk Seri Najib Razak menerusi sajak yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Menerusi sajak itu, Hassan yang juga seorang peguam mempersoalkan sama ada tindakannya menyuarakan bantahan terhadap perkara yang dianggapnya sebagai ketidakadilan boleh disifatkan sebagai derhaka.
Beliau turut menyentuh prinsip keadilan yang perlu ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau darjat seseorang, selain menyifatkan sikap berdiam diri terhadap ketidakadilan sebagai satu bentuk persubahatan.