SETIAP hari seawal pagi, ribuan rakyat Malaysia sudah mula bergerak menuju ke Singapura untuk mencari rezeki.
Ada yang menunggang motosikal, memandu kereta dan menaiki bas dengan satu tujuan mencari nafkah demi keluarga.
Dianggarkan hampir 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik bekerja di republik itu setiap hari.
Jumlah besar ini menjadikan Tambak Johor antara laluan sempadan paling sibuk terutama pada waktu pagi dan petang.
Bagi mereka, kesesakan di Tambak Johor bukan perkara baharu.
Malah, ada sudah terbiasa menghabiskan masa berjam-jam dalam perjalanan setiap hari untuk pergi dan pulang bekerja.
Namun, apabila semakin ramai orang menggunakan laluan berkenaan, satu perkara tidak boleh diketepikan iaitu keselamatan.
Kehadiran Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands North, Singapura dan disasarkan mula beroperasi pada Februari 2027.
Perkhidmatan itu akan mempunyai kapasiti waktu puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah dengan perjalanan antara kedua-dua stesen dijangka mengambil masa lima minit.
Pastinya, dengan tempoh perjalanan kira-kira lima minit, perkhidmatan itu dijangka menjadi pilihan pekerja serta pengguna lain yang mahu menjimatkan masa perjalanan.
Tetapi, di sebalik kemudahan dan kepantasan yang ditawarkan, persoalan lebih besar ialah sejauh mana keselamatan penumpang dapat dijamin?
Perkara itu nampaknya diberi perhatian serius oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila penggunaan lebih 100 peralatan pengimbas dan sistem pintu automatik (e-gate) berteknologi tinggi dirancang bagi memperkukuh kawalan keselamatan di RTS Link.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keupayaan alat pengimbas berteknologi baharu itu ditunjukkan menerusi demonstrasi peralatan keselamatan ketika beliau meninjau persiapan sempena Latih Amal Keselamatan RTS Malaysia-Singapore Cross-Border Joint Exercise, Field Training Exercise (FTX) 2026, baru- baru ini.
Latihan itu berlangsung di Stesen RTS Link Bukit Chagar dan Depoh RTS Wadi Hana, Johor Bahru melibatkan penyelarasan 28 kementerian dan agensi dari pihak Malaysia, selain turut membabitkan pelbagai agensi kerajaan serta rakan strategik dari Singapura.
Malah, Saifuddin sendiri mencuba peralatan itu bagi melihat keupayaannya mengesan objek pada badan seseorang.
Beliau turut menegaskan tiada ruang untuk pihak tertentu menyembunyikan barangan menggunakan bahan pembalut kerana mesin berkenaan mampu mengesannya.
Ini satu perkembangan penting kerana ancaman keselamatan hari ini semakin pelbagai. Penyeludupan dadah, senjata dan barangan terlarang bukan lagi boleh ditangani dengan pemeriksaan biasa semata-mata.
Malah, jenayah rentas sempadan tidak terhad penyeludupan dadah sahaja.
Kegiatan pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, penyeludupan senjata, pemalsuan dokumen serta pergerakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa turut menjadi ancaman yang perlu diberi perhatian.
Laluan yang menghubungkan dua negara dengan jumlah pergerakan penumpang yang tinggi berpotensi dieksploitasi sindiket jenayah sekiranya kawalan keselamatan tidak dilaksanakan secara menyeluruh.
Justeru, penggunaan teknologi canggih bukan bertujuan menyusahkan penumpang, sebaliknya memastikan setiap individu yang keluar masuk negara melalui pemeriksaan sewajarnya.
Pada masa sama, pihak berkuasa perlu memastikan proses pemeriksaan berjalan lancar.
Jangan sampai pekerja yang perlu mengejar waktu masuk kerja terpaksa berdepan kelewatan panjang akibat sistem yang tidak teratur.
Akhirnya, kejayaan RTS Link bukan hanya terletak pada keupayaannya membawa ribuan penumpang dalam tempoh singkat tetapi juga kemampuannya menyediakan perjalanan yang selamat dan terjamin.
Bagi rakyat yang keluar bekerja setiap hari, mereka bukan sekadar mahukan perjalanan cepat tetapi mahu pulang ke rumah dengan selamat selepas selesai mencari rezeki.
*Nor Azura Md Amin ialah wartawan Sinar Harian