ALOR SETAR – Seorang lelaki bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menunjukkannya ke arah pengawal keselamatan selepas ditahan kerana memasuki kawasan Wisma Darul Aman tanpa melalui pemeriksaan keselamatan pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, suspek berusia 45 tahun berkenaan dipercayai memasuki kawasan bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Gear berwarna kelabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pengawal keselamatan yang bertugas bersama rakan sekerjanya mengejar dan menahan lelaki terbabit bagi mendapatkan penjelasan mengenai tujuan kehadirannya.
Menurutnya, beberapa minit kemudian, suspek mengeluarkan sebilah pisau kecil berwarna hitam dari poket kanan seluarnya sebelum menunjukkannya ke arah pengawal keselamatan dan rakan sekerjanya.
"Suspek kemudian cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan bersama rakan sekerjanya sebelum pihak polis dihubungi untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, anggota polis yang tiba di lokasi kemudian menerima sebilah pisau berukuran kira-kira 15 sentimeter berserta sarung yang diserahkan oleh pengadu.
Katanya, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine dan Amphetamine," ujarnya.
Tambah Syed Basri, pengawal keselamatan yang membuat laporan polis memaklumkan berlaku sedikit pergelutan ketika usaha menahan suspek dan merampas pisau berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.