PETALING JAYA – Cubaan seorang lelaki memandu secara agresif serta melanggar kenderaan polis ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan mengundang padah apabila diberkas di Jalan Tiara Titiwangsa 10, Kuala Lumpur pada Ahad.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.11 pagi ketika kereta jenis Toyota Vios dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di sekatan jalan raya di Jalan SS2/75, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kenderaan terbabit dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum berjaya dikesan dan ditahan di kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun, ketika polis cuba melakukan tangkapan, suspek bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri semula.
"Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang merupakan pemandu kenderaan terbabit bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan," katanya.
Menurutnya, saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan.