Kerjasama BN-PN formula mujarab, bukti penyatuan ummah berkesan- Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad (tengah) merasmikan Kejohanan Futsal Tertutup Parlimen Pontian di Gelanggang Futsal Tambak.

KLUANG - Kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan keberkesanan kerjasama kedua-dua pihak dalam meraih sokongan pengundi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, formula berkenaan bukan sahaja membantu BN-PN mencapai kemenangan besar, malah menyumbang kepada peningkatan majoriti di 21 kerusi yang dimenangi BN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau sejak awal menjangkakan BN mampu memenangi 21 kerusi, selain tiga kerusi tambahan berdasarkan perkembangan sebelum dan sepanjang tempoh kempen.

“Formula mujarab penyatuan ummah. Tempat yang kita menang dan jangka menang, majoriti semuanya meningkat dengan tinggi.

Iklan

“Majoriti di 21 tempat itu meningkat banyak kerana sokongan daripada kedua-dua belah pihak iaitu BN dan PN,” katanya selepas Kejohanan Futsal Tertutup Parlimen Pontian di Gelanggang Futsal Tambak di sini, pada Ahad.

PRN Melaka pada Sabtu, menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menguasai majoriti lebih dua pertiga.

Iklan

Daripada jumlah itu, BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi. Pakatan Harapan (PH) pula hanya memenangi empat kerusi.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya mengakui meskipun pengundi Cina masih dilihat memberikan sokongan kepada DAP, namun sebahagian daripada mereka turut memilih calon BN terutama di kawasan yang bukan majoriti kaum berkenaan.

Jelas beliau, perkara itu dibuktikan menerusi kemenangan tiga calon bukan Melayu iaitu dua daripada MCA dan seorang MIC di Gadek.

Ahli Parlimen Pontian turut menyentuh mengenai perkembangan keputusan pilihan raya di Sabah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang dirasakan wajar dijadikan antara pertimbangan dalam menilai sokongan rakyat terhadap parti-parti yang membentuk kerajaan.

Menurutnya, tempoh empat tahun selepas PRU-15 pada 19 November 2022 juga semakin hampir, justeru perancangan untuk mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat boleh dipertimbangkan.