'Tiada tekanan untuk PM bubar Parlimen secara mengejut'- Dzulkefly

Iklan
Dzulkefly ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Warda Nasional di Seremban

SEREMBAN - Tidak ada tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parlimen secara mengejut dalam waktu terdekat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tempoh penggal pentadbiran kerajaan Persekutuan masih belum berakhir.

Iklan
Iklan

"Saya ingat kita tunggu. Sesi Parlimen ini ada waktunya. Jadi tidak ada tekanan untuk membuat apa-apa pembubaran secara mengejut," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Warda Nasional di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan supaya pembubaran Parlimen dilakukan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan.

Iklan

Menurutnya, perkembangan ekonomi negara ketika ini juga menunjukkan momentum yang baik, termasuk dalam aspek kewangan dan perindustrian.

Justeru katanya, tiada sebab untuk Parlimen dibubarkan, melainkan berlakunya sesuatu perkara yang mendesak pembubaran segera.

Iklan

"Kecuali jika ada sesuatu drastik yang berlaku. Kalah menang pilihan raya itu biasa saja. Hari ini mereka (BN-PN) menang, mungkin esok kita pula," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan di bawah pentadbiran Anwar juga menunjukkan prestasi yang membanggakan, malah setiap kementerian berusaha melakukan yang terbaik.

Tambahnya, rakyat perlu diberi kebebasan membuat pilihan dan pertimbangan parti yang terbaik memimpin kerajaan.

"Biarlah rakyat membuat pertimbangan. Tetapi kalau kita telah meracuni pemikiran rakyat dengan mengatakan jika menyokong PH bersama DAP, maka Cina akan mendominasi, itu satu racun yang kita tidak boleh terima.

"Kita boleh melakukan apa sahaja dalam persaingan politik, tetapi jangan sampai memasuki garis permusuhan, perseteruan dan kebencian kerana perkara itu sangat ditentang dan tidak dianjurkan oleh Islam," katanya.