KOTA BHARU – Ombak kuat musim tengkujuh di Pantai Sabak di sini membawa rezeki luar biasa apabila kerang kapak muncul di pesisir air dan dikutip orang ramai walaupun ketika hujan pada Jumaat.
Penduduk sekitar dan pengunjung mula memenuhi kawasan pantai seawal jam 7 pagi untuk mencari kerang yang timbul malah ada yang sanggup datang semula selepas memperoleh hasil lumayan pada hari sebelumnya.
Seorang pengunjung, Norizan Mohamad Noor, 40, berkata, dia kembali ke pantai itu bersama jiran dan tiga anak jiran selepas mengetahui kerang kapak masih banyak dibawa ombak.
Menurut ibu tunggal tiga anak dari Kampung Tok Kasim itu, dia memperoleh kira-kira 30 kilogram kerang kapak ketika mengutipnya pertama kali di pantai itu pada Khamis.
“Semalam saya datang dan dapat banyak, jadi hari ini datang lagi. Kerang ini datang bersama ombak dan senang sahaja hendak dikutip menggunakan tangan.
“Semalam pantai ini penuh orang sehingga kira-kira jam 1 pagi. Saya sendiri tahu mengenai kemunculan kerang ini pada waktu petang semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di pantai itu pada Jumaat.
Norizan berkata, hasil kutipan pada hari pertama itu sebahagiannya diberikan kepada adik-beradik arwah suaminya, manakala selebihnya disimpan untuk dimakan bersama keluarga.
Katanya, kerang kapak itu hanya perlu direbus sebelum dimakan dan dia turut membawa anak-anak ke pantai untuk menikmati pengalaman mengutip hasil laut berkenaan.
“Walaupun hujan, saya tetap suka bawa anak-anak ke sini, tapi keselamatan mereka tetap perlu dijaga,” katanya.
Sementara itu, nelayan, Mohd Sayuti Zahari, 33, berkata, dia menggunakan penyauk bagi mendapatkan lebih banyak kerang kapak berbanding mengutipnya menggunakan tangan.
Menurutnya, kerang berkenaan boleh dirasai di dalam pasir menggunakan kaki sebelum disauk ketika ombak membawa haiwan laut itu menghampiri pantai.
“Kalau guna tangan, lambat dan dapat sedikit sahaja, tetapi dengan penyauk boleh dapat banyak dalam satu masa.
“Kalau hasil banyak, ada rezeki boleh dijual. Kalau tidak saya bahagi-bahagikan kepada penduduk kampung,” katanya.
Mohd Sayuti berkata, harga kerang kapak bergantung kepada saiz dan hasil tangkapan, dengan harga jualan sekitar RM5 hingga RM10 sekilogram.
Katanya, isi kerang itu yang kenyal boleh dimasak dengan pelbagai cara termasuk dibakar, direbus atau dicampurkan ke dalam mi segera.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Fauzi Ilman Zakaria, 22, berkata, dia turut menggunakan penutup kipas angin terpakai sebagai alat untuk menahan dan menyauk kerang yang dibawa ombak ke pesisir pantai.
“Kena hati-hati ketika mengutip kerang kerana ombak yang bahaya. Kaki dan tangan pun boleh luka kena kulit kerang yang nipis,” ujarnya.