KOTA KINABALU - Polis sedang mengesan seorang lelaki dikaitkan dengan kes bunuh yang berlaku di kawasan premis perniagaan Sulaman Central, Manggatal di sini pada Sabtu.
Individu tersebut dikenali sebagai Kusdino Paad dan berusia 38 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, usaha mengesan lelaki tersebut sedang dilakukan bagi membantu siasatan pihak polis.
"Kes dirujuk melalui laporan polis Manggatal dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan penama untuk tampil membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.
Sebelum itu, seorang lelaki maut akibat ditikam menggunakan pisau pemotong daging selepas cuba menghalang pergaduhan antara suspek dan seorang peniaga makanan di kawasan tersebut.
Mangsa yang berusia 31 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum ahli keluarga membawanya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).
Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi.