GUA MUSANG - Cubaan seorang lelaki mengedarkan 2,000 pil yaba gagal apabila dia diberkas polis dalam Op Tapis di hadapan tandas Lapang Sasar Rantau Manis di sini pada Sabtu.
Penahanan suspek berusia 33 tahun itu pada jam 5.30 petang semasa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna biru membawa kepada rampasan bahan terlarang yang bernilai RM20,000.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan terhadap motosikal berkenaan menemukan sebuah beg plastik hitam di dalam raga yang mengandungi beberapa bungkusan plastik berisi pil disyaki dadah jenis yaba.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan suspek bagi membantu siasatan.
"Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Choon Foo memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat serta mengesan sumber bekalan dadah berkenaan.