SHAH ALAM - Amanah yang diberikan kepada wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dibalas dengan khidmat dan bukannya sekadar janji.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, semua wakil rakyat yang dipilih perlu terus mendengar suara serta memahami keresahan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik.
"BN turut menghargai semangat kebersamaan dan kerjasama yang terbentuk dengan Perikatan Nasional (PN) sepanjang PRN kali ini.
"BN akan terus memperjuangkan politik kesederhanaan, memperkukuh perpaduan dan menjadikan kestabilan sebagai asas kemajuan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
BN dan PN menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berdasarkan keputusan tidak rasmi PRN Melaka setakat ini.
BN yang dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menguasai 21 kerusi, manakala PN di bawah Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memperoleh tiga kerusi
Dalam pada itu, Zambry menegaskan, BN menerima mandat tersebut dengan penuh kesyukuran dan rendah hati sambil menyifatkan kemenangan itu bukan pengakhiran perjuangan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar.
"Ucapan tahniah dan penghargaan kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas kepimpinan beliau menerajui BN Melaka serta keupayaan menyatukan kekuatan parti dan menggembleng seluruh jentera pilihan raya.
"Kepercayaan rakyat mesti diterjemahkan melalui pentadbiran berkesan, pembangunan inklusif dan pembelaan berterusan terhadap kebajikan rakyat," ujarnya.