SHAH ALAM - Membandingkan tahap kezaliman berdasarkan identiti agama merupakan penyimpangan daripada prinsip keadilan yang menjadi asas penting dalam ajaran Islam.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan yang dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan parti tersebut dalam membina kerjasama politik merentasi kaum dan agama.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pandangan Abdul Hadi itu terpakai kepada pemimpin MCA dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selaku rakan politik Pas atau ia hanya digunakan apabila berhadapan pihak yang berbeza pendirian politik.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu juga mengingatkan bahawa pemimpin politik mempunyai tanggungjawab moral yang besar untuk memelihara keharmonian dan saling menghormati antara masyarakat.
"Perbezaan politik tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menyemai prasangka terhadap penganut agama lain, apatah lagi menggunakan agama sebagai sandaran kepada generalisasi yang tidak adil.
"AMK menegaskan bahawa Islam datang untuk membebaskan manusia daripada kezaliman, bukan memberikan justifikasi kepada kezaliman atas nama agama.
"Keimanan seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk meremehkan salah laku, penindasan atau pengkhianatan terhadap amanah yang dipikulnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Abdul Hadi ketika berucap pada Grand Finale Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (BN-PN) sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Bukit Katil mendakwa sejahat-jahat orang Islam yang memerintah tidak akan sezalim orang bukan Islam.
Kenyataan sensitif itu mengundang rasa amarah dalam kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP termasuk umat Islam di negara ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil mendesak Abdul Hadi memberikan penjelasan secara terbuka, menarik balik kenyataan tersebut dan memperbetulkan persepsi agar masyarakat tidak terus keliru mengenai tuntutan sebenar keadilan dalam Islam.
Beliau berkata, Malaysia tidak boleh dibina berasaskan politik ketakutan, prasangka dan perseteruan agama.
"Negara ini mesti terus dipertahankan sebagai tanah air bersama yang menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta menjamin hak dan kebebasan beragama seluruh rakyat sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Keadilan tidak mengenal warna kulit, keturunan atau agama si pelaku. Kezaliman tetap wajib ditentang, sekalipun ia dilakukan oleh mereka yang sebangsa, seagama atau sehaluan politik dengan kita.
"Inilah prinsip yang mesti dipertahankan demi kemuliaan Islam, keharmonian masyarakat dan masa depan Malaysia," ujarnya.
Beliau menambah, kenyataan bersifat ekstrem dan sarat dengan prasangka agama itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi menyemarakkan sentimen kebencian serta memecahbelahkan masyarakat.
Lebih membimbangkan, katanya, bait-bait ayat sedemikian datang daripada seorang pemimpin politik kanan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan memiliki pengaruh besar dalam kalangan masyarakat Islam.
"Seharusnya kedudukan dan keilmuan tersebut digunakan untuk memupuk kefahaman Islam berteraskan keadilan, kebijaksanaan dan kemuliaan akhlak, bukannya membina persepsi seseorang yang beragama Islam mempunyai kelebihan moral secara mutlak berbanding penganut agama lain, sekalipun melakukan kezaliman.
"Islam tidak pernah memberikan kekebalan moral kepada mana-mana individu hanya kerana identiti agamanya. Keadilan dalam Islam ialah prinsip yang wajib ditegakkan tanpa mengira bangsa, keturunan, agama mahupun kedudukan seseorang," katanya lagi.
Beliau turut memetik petikan surah al-Ma'idah ayat 8:"Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa".
"Ayat ini memperlihatkan dengan jelas bahawa keadilan merupakan tuntutan agama yang tidak boleh dikompromikan atas dasar sentimen kelompok atau perbezaan kepercayaan," katanya.