Anggota polis ditetak warga asing tunjuk perkembangan positif, mampu gerakkan jari

Iklan
Tangan kanan seorang anggota polis yang terputus ditetak penjenayah warga asing berjaya disambung semula menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA - Anggota polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di Kepong pada Rabu lepas, kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu menggerakkan beberapa jari pada tangan yang cedera.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan kejayaan pembedahan menyambung semula pergelangan tangan anggota berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Iklan
Iklan

"Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa pakar pembedahan di HKL telah berjaya melaksanakan tugas ini, dan anggota polis tersebut menunjukkan perkembangan yang positif dengan keupayaan menggerakkan beberapa jari dari tangan yang terkesan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Menteri Komunikasi itu berkata, insiden serangan tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melahirkan kebimbangan terhadap kejadian berkenaan.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut memaklumkan Jemaah Menteri mengenai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi melindungi keselamatan anggota penguat kuasa di lapangan.

"Menteri Dalam Negeri memaklumkan bahawa dari segi prosedur sedia ada, memang anggota polis dibenarkan untuk mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan diri sentiasa menjadi keutamaan sewaktu sebarang operasi diadakan," katanya.

Iklan

Pada Rabu lepas, seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Insiden itu mendapat perhatian Perdana Menteri yang mengecam perkara berkenaan dan mahu tindakan tegas diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang bertugas. - Bernama