Ab Rauf catat rating 86 peratus, kerajaan negeri 85 peratus - Ilham Centre

Iklan
Ab Rauf

SHAH ALAM - Tahap penerimaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mencatatkan kadar kelulusan 86 peratus, sekali gus memperlihatkan keyakinan tinggi rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Kajian Ilham Centre turut mendapati kerajaan negeri memperoleh penarafan kelulusan sebanyak 85 peratus, sekali gus dilihat menjadi antara faktor yang mempengaruhi kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.

Iklan
Iklan

Menurut laporan eksekutif pusat penyelidikan itu, penerimaan positif berkenaan didorong pelaksanaan dua program utama kerajaan negeri iaitu Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

"Kedua-dua inisiatif ini berjaya menonjolkan pendekatan kepimpinan yang dekat dengan rakyat dan memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri sentiasa hadir dalam kehidupan masyarakat.

Iklan

"Pelaksanaan program berkenaan membolehkan kerajaan negeri membina hubungan langsung dengan pengundi melalui penyampaian bantuan, penyelesaian masalah setempat dan interaksi berterusan bersama masyarakat," katanya.

Menurut Ilham Centre, pengundi tidak hanya menilai kerajaan berdasarkan janji pilihan raya, tetapi turut mengambil kira pengalaman mereka berurusan dengan wakil rakyat dan pentadbiran negeri.

Iklan

"Dalam konteks PRN Melaka, pendekatan yang menyentuh keperluan harian rakyat mempunyai nilai politik lebih besar berbanding perdebatan mengenai isu nasional yang jauh daripada kehidupan setempat," katanya.

Dapatan firma penyelidikan itu juga mendapati, pengundi lebih mudah mengaitkan manfaat yang diterima dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus memperkukuh persepsi terhadap keberkesanan pentadbiran BN.

Menurut laporan tersebut, keberhasilan kedua-dua program itu turut memperlihatkan kelebihan penyandang yang dimanfaatkan secara optimum oleh BN sepanjang tempoh pentadbirannya.

"Hubungan antara kerajaan negeri, wakil rakyat, jentera parti dan masyarakat telah membentuk jaringan penerimaan yang sukar ditembusi parti lawan dalam tempoh kempen yang singkat," katanya.

Ilham Centre berpandangan, keadaan itu menjadikan rekod perkhidmatan dan kehadiran kerajaan negeri sebagai modal politik yang lebih berkesan berbanding tawaran perubahan dibawa pembangkang.

"Pakatan Harapan berdepan kesukaran mencabar persepsi positif tersebut apabila pengundi lebih cenderung mempertahankan manfaat yang telah mereka nikmati berbanding mengambil risiko terhadap tawaran baharu," menurut firma penyelidikan bebas itu.