MELAKA - Pengundi di Melaka diseru memilih pemimpin yang mempunyai integriti, berkebolehan dan berwibawa serta mengutamakan keadilan dan kebajikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang akan berlangsung esok.
Seruan itu terkandung dalam teks khutbah Jumaat bertajuk"Menunaikan Tanggungjawab Demi Masa Hadapan”, yang menyifatkan pilihan raya sebagai proses penting dalam sistem pemerintahan negara apabila rakyat diberi tanggungjawab memilih wakil untuk memikul amanah kepimpinan, memperjuangkan kebajikan masyarakat serta menentukan hala tuju pembangunan negara.
Menurut teks khutbah yang dibacakan di seluruh masjid di Melaka hari ini, dalam Islam, kepimpinan bukan sekadar kedudukan, kemasyhuran atau kekuasaan, sebaliknya tanggungjawab besar yang akan dipersoalkan oleh ALLAH SWT pada hari akhirat.
Mimbar turut menggariskan tiga panduan penting dalam memilih pemimpin, iaitu mempunyai integriti, berkebolehan dan berwibawa serta mengutamakan keadilan dan kebajikan rakyat.
"Pemimpin yang baik ialah mereka yang jujur, bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga atau kumpulan tertentu,” menurut teks khutbah yang turut mengingatkan bahawa keikhlasan sahaja tidak mencukupi tanpa kemampuan melaksanakan tanggungjawab.
Pemimpin juga perlu memiliki ilmu, kebijaksanaan, pengalaman serta keupayaan mengurus kepentingan rakyat, selain bersedia bekerja dan berkhidmat, bukannya sekadar pandai berjanji.
Khutbah itu turut menyeru pengundi memberi keutamaan kepada pemimpin yang memahami kesusahan rakyat, membela golongan lemah serta memperjuangkan kesejahteraan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Dalam pada itu, mimbar mengingatkan perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk bermusuhan, memutuskan silaturahim atau mencetuskan kebencian, termasuk dalam kalangan ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat.
"Janganlah perbezaan pilihan memusnahkan perpaduan yang telah lama dibina. Kita mungkin berbeza dalam memilih pemimpin tetapi kita tetap berkongsi tanah air, masa depan dan tanggungjawab yang sama,” menurut khutbah berkenaan.- Bernama